TAIPING: Mana-mana pihak tidak sepatutnya menghalang pihak sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana organisasi daripada menyalurkan bantuan kepada hospital awam atas dasar kepentingan politik.
Ketua Penerangan Pemuda Kebangsaan MCA, Neow Choo Seong berkata, pihak pengurusan hospital didakwa menerima tekanan daripada pihak tertentu supaya tidak menerima sumbangan tersebut, namun beliau enggan menamakan individu yang terlibat.
“Saya dimaklumkan terdapat tekanan terhadap pihak pengurusan hospital untuk menghalang penerimaan sumbangan ini. Namun saya percaya mereka bertindak atas kebijaksanaan dan keprihatinan demi kepentingan orang ramai.
“Sumbangan ini bukan untuk kepentingan saya atau mana-mana pihak, tetapi untuk pesakit dan pelawat hospital,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 100 buah kerusi kepada pihak pengurusan Hospital Taiping di sini hari ini.
Choo Seong berkata, sumbangan itu dibuat susulan satu hantaran tular yang memaparkan pelawat di Jabatan Radiologi Hospital Taiping terpaksa duduk di atas lantai kerana kekurangan kerusi.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha kebajikan yang bertujuan membantu pesakit dan pelawat hospital perlu disokong kerana manfaatnya akan dinikmati oleh rakyat.
Menurut beliau, tindakan menghalang sumbangan kepada hospital hanya akan menyukarkan usaha menangani kekurangan kemudahan yang dihadapi oleh institusi kesihatan tersebut.
“Kalau tidak mampu buat kebaikan, jangan halang orang lain daripada buat kebaikan. Ini bukan soal politik, tetapi soal kepentingan rakyat.
“Saya datang bukan membawa lambang parti, sebaliknya atas kapasiti peribadi dan sebagai anak Taiping yang mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada hospital ini,” katanya. – UTUSAN






