GEORGE TOWN : Tujuh sekeluarga terpaksa beraya dalam kesedihan apabila rumah yang mereka diami hampir musnah dalam satu kebakaran di Taman Desa Penaga, Jelutong di sini, kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Selain kehilangan rumah, keluarga berkenaan juga hampir ‘berputih mata’ apabila kebakaran tersebut menyebabkan tiga buah kenderaan milik mereka iaitu Perodua Axia, Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego rosak teruk.
Mangsa, Rashid Ismail, 53, ketika ditemui berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan adik perempuannya masing-masing sedang menyediakan makanan di dapur, sebaik selesai solat sunat Aidiladha.
Menurut Rashid, secara tiba-tiba, dia ternampak asap keluar dari salah sebuah bilik di tingkat atas kediaman peninggalan arwah bapa mereka.
“Saya cuba padamkan api dengan menggunakan pili, tetapi, api semakin hingga ke bahagian bumbung bilik. Ketika itu, saya terus jerit supaya mereka keluar selamatkan diri dan mengangkat ibu yang berusia 79 tahun keluar dari rumah,” katanya yang cedera di bahagian tangan dalam tragedi tersebut.
Selain Rashid dan ibunya, turut tinggal di rumah itu ialah adik perempuannya yang mengalami tekanan darah tinggi akibat kejadian tersebut serta empat lagi kanak-kanak dipercayai cucu kepada warga emas terbabit.
Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian terbabit.
“Kerja-kerja pemadaman dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dengan dibantu oleh anggota BBP Lebuh Pantai serta BBP Paya Terubong.
“Secara keseluruhannya, seramai 19 anggota terlibat dalam memadamkan kebakaran tersebut termasuk ketua balai (bomba),” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, kerja-kerja ‘overhaul’ turut dijalankan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi diserahkan kepada pihak Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN






