SHAH ALAM: Laporan tragedi kebekaran akibat letupan paip gas dekat Putra Heights di sini, akan didedahkan kepada umum seawal suku terakhir tahun ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendedahan laporan tersebut akan dibuat sekiranya tiada keputusan daripada Kerajaan Persekutuan berhubung perkara tersebut.
Katanya, sehingga kini pihaknya sedang menunggu sekiranya terdapat maklum balas daripada Kabinet untuk membenarkan laporan berkenaan didedahkan atau sebaliknya.
“Kita sedia bila-bila masa dan hanya menunggu keputusan Kabinet Persekutuan sama ada membenarkan laporan itu didedahkan kepada umum. Bagi kami tiada masalah untuk dedahkan namun ia berkaitan dengan beberapa agensi kerajaan dan anak syarikat milik kerajaan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Smartsel Sdn. Bhd. dan PG Linkaran Fibre Sdn. Bhd. serta penyempurnaan projek fiberisasi-Cyberjaya di sini.
Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menunggu sehingga suku terakhir tahun ini sebelum berbincang dengan penasihat undang-undang mengenai tindakan selanjutnya sekiranya tiada keputusan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kalau tiada keputusan sehingga akhir tahun atau suku terakhir, kita akan berbincang dengan penasihat undang-undang mengenai kemungkinan laporan itu didedahkan kepada umum berdasarkan kuasa kerajaan negeri.
“Saya fikir laporan (Putra Heights) juga sudah dihantar kepada Kerajaan Persekutuan sejak sekian lama,” jelasnya.
Mei lalu kerajaan negeri dilaporkan bersedia mendedahkan laporan penuh insiden itu selepas menerimanya daripada kerajaan Persekutuan.
Laporan semakan siasatan diperoleh daripada Jawatankuasa Bebas yang turut disertai pihak pembangkang dan pakar termasuk pelbagai agensi keselamatan telah diserahkan pada April lalu.
Bagaimanapun, proses pendedahan laporan penuh insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya kepada umum berdepan kekangan susulan tindakan undang-undang yang difailkan penduduk.
Keadaan itu menyebabkan urusan semakan dan penyelarasan dokumen laporan itu terganggu pada peringkat tertentu. – UTUSAN






