PETALING JAYA: Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim yang penuh gilang-gemilang di Istana Negara semalam dimulakan dengan upacara penuh tradisi ketenteraan Hormat Diraja daripada tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Upacara yang berlangsung di Dataran Istana Negara itu melibatkan cabang darat, laut dan udara, lambang taat setia pasukan pertahanan negara kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM.
Acara bermula pukul 9.45 pagi dengan keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah ke Peterana Diraja, diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Sebaik tiba di Peterana Diraja, Seri Paduka diberi Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Nexbyte dibarisi empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1RAMD).
Lagu Negaraku kemudian didengarkan Pancaragam Pusat RAMD dan panji-panji Seri Paduka dikibar.
Sultan Ibrahim yang mengenakan Muskat iaitu persalinan istiadat Yang di-Pertuan Agong berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Nexbyte dan memberi hormat melintasi panji-panji.
Selesai pemeriksaan Kawalan Kehormatan Nexbyte, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menerima Hormat Diraja dan serentak itu lagu Negaraku berkumandang.
Seri Paduka berdua kemudian meninggalkan Peterana Diraja ke Dewan Seri Maharaja meneruskan atur cara istiadat pertabalan diiringi Anwar dan Wan Azizah.
Ketika berangkat masuk ke Balairung Seri Istana Negara untuk bersemayam di Singgahsana, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah menarik perhatian seluruh jemputan. Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini kemudian memohon perkenan Seri Paduka bagi memulakan istiadat pertabalan di Balairung Seri.
Istiadat pertabalan dihadiri 700 tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri dan komuniti diplomatik asing serta pemimpin-pemimpin utama negara selain turut disiar secara langsung menerusi stesen televisyen negara.
Sultan Ibrahim yang meneruskan pusingan kedua sistem penggiliran Raja-Raja Melayu yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.
Pelantikan baginda bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang, yang tamat tempoh pemerintahan selaku Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 30 Januari 2024. – UTUSAN






