PETALING JAYA: Jabatan Imigresen diarahkan untuk menjalankan siasatan dengan segera dan menyeluruh berhubung kejadian tiga sekeluarga maut selepas dilanggar sebuah lori jabatan itu di Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi jika terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang.
Beliau kemudian merakamkan takziah buat mereka yang terkorban dalam insiden tragis ini.
“Saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen supaya menjalankan siasatan dengan segera dan menyeluruh.
“Jika terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tiga sekeluarga maut selepas dilanggar sebuah lori Jabatan Imigresen yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa yang maut di tempat kejadian ialah seorang lelaki berusia 53 tahun, serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kemalangan itu membabitkan lori Isuzu Black Maria milik Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kenderaan lain dan empat pejalan kaki.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun tanpa penumpang dan dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI).-UTUSAN






