KUANTAN: Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan diminta menyediakan garis panduan berhubung hukuman terhadap murid dan pelajar yang melanggar disiplin atau nakal di sekolah.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, garis panduan itu perlu jelas berkaitan prosedur hukuman seperti rotan supaya golongan pendidik tidak dipersalahkan dan diambil tindakan undang-undang oleh ibu bapa.
“Jika dahulu, pada zaman 70an hingga 80an, hukuman berbentuk fizikal, seperti rotan dan sebat antara tindakan biasa dikenakan oleh guru untuk membentuk disiplin murid dan pelajar ketika itu.
“Pada waktu itu, anak murid dan pelajar tidak berani mengadu kepada ibu bapa atau penjaga sekiranya dirotan atau disebat, tetapi senario ketika ini jauh berbeza.
“Apabila menghukum murid, guru dimarahi, diserang oleh ibu bapa sehingga ada dikenakan tindakan undang-undang. Ini tidak wajar kerana boleh mewujudkan situasi tidak baik sehingga menyebabkan guru malas mendidik anak murid yang tidak beradab dan tidak berdisiplin,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan seorang guru disiplin di sebuah sekolah di Melaka didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas tuduhan mencederakan pelajarnya, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Heirman Ishak, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan dalam prosiding kes di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, apabila langsung tidak boleh disentuh, ia boleh mewujudkan generasi baharu murid dan pelajar yang manja serta tidak berdisiplin.
“Murid dan pelajar sebegini bukan sahaja tidak tahu menghormati guru, tetapi juga berani melakukan kesalahan yang menyumbang kepada pelbagai jenayah di sekolah, termasuk buli,” katanya.
Beliau berkata, guru memainkan peranan sebagai ‘ibu bapa kedua’ murid untuk mendidik dan membentuk generasi muda itu supaya berjaya dalam akademik, kokurikulum serta memiliki sahsiah diri terbaik apabila melangkah keluar sekolah.
“Namun hari ini, hak dan peranan guru seolah-olah semakin dihadkan atau dinafikan, dek kekangan peraturan yang tidak membenarkan golongan pendidik mengambil tindakan tertentu ke atas murid dan pelajar.
“Dibimbangi situasi ini akan menyebabkan para guru tidak bersemangat mendidik anak murid dan memilih menjaga periuk nasi masing-masing hingga bersara.
“Jika ini berlaku, wujudlah generasi murid dan pelajar yang tidak sempurna dan lengkap ilmunya. Maka, musnahlah masa depan anak-anak bangsa kita,” katanya. – UTUSAN





