PETALING JAYA: Seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes memukul seorang kanak-kanak menggunakan rotan, dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kertas siasatan membabitkan lelaki berusia 38 tahun kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) minggu ini bagi mendapatkan arahan lanjut.
“Orang kena tuduh (OKT) telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk kepada DPP dalam minggu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, suspek ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1.21 petang kelmarin.
Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di sebuah rumah dan suspek merupakan bapa saudara kepada mangsa berusia antara lapan hingga 11 tahun.
Kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang dikatakan melawan ibu suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kesalahan penganiayaan terhadap kanak-kanak.
Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 35 saat yang memaparkan kanak-kanak dipukul menggunakan rotan serta dibaling kerusi tular di media sosial. – UTUSAN






