PEKAN: Masyarakat Orang Asli Gumum di sini berharap pendapatan mereka yang hilang lebih sedekad lalu dapat dikembalikan dengan pemulihan semula Tasik Chini iaitu tasik semula jadi kedua terbesar negara.
Zaidah Kasim, 53, berkata, mereka hilang 100 peratus sumber pendapatan daripada ekopelancongan selepas Tasik Chini tiada lagi daya tarikan apabila ekosistem semula jadinya musnah disebabkan kegiatan perlombongan dan pembalakan yang berleluasa.
“Sebelum 2013, ramai datang ke Tasik Chini. Boleh dikatakan suasananya meriah dengan kedatangan pengunjung.
“Kami penduduk di sini dapat mencari sumber pendapatan dengan menjual barangan kraftangan, menjadi pemandu pelancong dan pemandu bot.
“Namun, sejak daya tarikan Tasik Chini terutama bunga teratai sudah tiada dan air tasik sudah tidak secantik dahulu, kedatangan pelancong semakin berkurang dan semakin teruk terutama selepas Covid-19,” katanya ketika ditemui Nexbyte di Kampung Gumum di sini.
Hamidah Muhammad, 33, berkata, lebih 10 tahun lalu, penduduk boleh mraih wang sampingan sekitar RM1,000 setiap bulan hasil aktiviti ekopelancongan.
“Sekarang langsung tidak ada. Sehinggakan kebanyakan anak muda pergi cari kerja di luar. Hasil kraftangan kami juga sudah tidak laku dijual apabila tidak ada pelancong. Kalau ada tempahan pun tidak banyak,” ujarnya.
Bagi Noraini Ale, 57, katanya, sewaktu kegemilangannya, Tasik Chini kerap dikunjungi pelancong sekali gus menjana pendapatan Orang Asli.
Katanya, suatu ketika dahulu, air Tasik Chini jernih sehingga boleh diminum dan ikan boleh kelihatan dari dasar tasik.
“Sekarang hendak mandi pun tidak sanggup kerana kami akan mengalami masalah kulit. Ikan juga isinya sudah tidak sesedap dahulu, rasa lumpur.
“Justeru, masalah tasik ini perlu diselesaikan dengan mengembali keindahannya,” katanya. – UTUSAN






