ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu menyelaras terlebih dahulu harga beras putih tempatan (BPT) sebelum membenarkan penjualan beras campuran yang sebenarnya sudah berlaku ketika ini.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, isu pokok tersebut perlu diselesaikan dahulu selaint terbeban dengan harga belian padi RM1,300 per tan metrik.
Katanya, para petani sama sekali tidak berdepan masalah sekiranya keseimbangan harga itu berlaku termasuk menaikkan harga lantai belian padi kepada paras lebih relevan.
“Jualan beras campur memang sudah lama berlaku. Cuma persoalannya adalah penyelarasan harga baharu untuk beras tempatan.
“Kalau mahu tangani isu pokoknya kenapa selepas 17 tahun harga beras tak dinaik atau dikaji lagi, malah dalam tempoh dua tahun ini pun pengguna sudah terbiasa dengan harga beras yang lebih tinggi berbanding RM2.60 sekilogram, di pasaran cuma ada beras RM3.40 dan RM3.60 sekilogram,” katanya kepada Nexbyte.
Abdul Rashid berkata, seandainya kerajaan mahu ‘merestukan’ penjualan beras campuran itu, pihaknya mencadangkan harga RM3.60 bagi setiap kilogram agar dapat memberi situasi senang-menang.
Katanya, perkara itu secara tidak langsung berupaya menyelamatkan pesawah daripada tertekan dengan keadaan semasa kerana sekiranya tidak dinaikkan harga beras tempatan, amat mustahil untuk kerajaan menetapkan harga lantai padi yang lebih seimbang dengan kos.
“Menteri ada kata kalau mahu naik harga lantai padi, kita tidak boleh pula nak beli harga beras murah jadi di situ sudah tunjuk ketidak seimbangan. Jadi untuk harmonikan kena naik harga beras untuk diseimbangkan,” katanya.






