PETALING JAYA: Pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) perlu dipercepatkan kerana dilihat lebih efektif dalam menangani kegiatan gangsterisme dan jenayah terancang di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berpandangan, kerajaan perlu mempercepatkan pindaan POCA dalam masa terdekat ini berikutan trend jenayah terancang yang membimbangkan.
Beliau berkata, penggunaan akta tersebut diperlukan bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) membasmi kegiatan gangsterisme dan jenayah terancang ini secara lebih efektif.
“Kita lihat kebelakangan ini beberapa kes tembak kebanyakannya mempunyai kaitan kumpulan kongsi gelap dan gangsterism.
“Jadi, penggunaan POCA diperlukan bagi menangani kegiatan-kegiatan jenayah terancang yang semakin berleluasa.
“Peruntukan undang-undang (POCA) ini juga dapat digunakan bagi mengambil tindakan terhadap kartel-kartel judi di negara ini,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Razarudin berkata, siasatan melibatkan jenayah terancang ketika ini dilakukan di bawah Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA) yang memperuntukkan penggunaan saksi terlindung dalam kes-kes tertentu.
Kata beliau, saksi-saksi terlindung ini terdiri mereka yang berada dalam kumpulan sindiket jenayah terancang yang disiasat.
“Sekali gus, ini menyukarkan pihak polis membina kes dan memulakan siasatan itu,” jelasnya.
Disember lalu, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji kesesuaian menggunakan undang-undang pencegahan sedia ada seperti POCA terhadap kumpulan kultus.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, undang-undang bersifat punitif berkemungkinan tidak dapat menyelesaikan masalah sedemikian secara holistik disebabkan masalah teknikal perundangan seperti mana undang-undang pencegahan.
Bagaimanapun, kata beliau, KDN akan meminda akta tersebut sekiranya terdapat keperluan. – UTUSAN






