KUALA LUMPUR: Pasukan petugas khas dari Bukit Aman mendapati, terdapat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan kematian Zara Qairina Mahathir pada 16 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, ketidakpatuhan itu ialah apabila pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk membuat proses bedah siasat terhadap jenazah pelajar itu.
Kata beliau, ibu mangsa telah bersetuju dan menandatangani borang persetujuan untuk tidak melakukan bedah siasat.
“Persetujuan ini direkodkan dengan tanda tangan ibu mangsa, doktor, patalogi dan pegawai penyiasat dalam satu dokumen surat akuan enggan bedah siasat mayat atas kemahuan sendiri yang dikeluarkan pihak hospital.
“Susulan ini, tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelia dalam kes Zara Qairina ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, semalam.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, fokus siasatan polis berhubung kematian Zara Qairina akan dijalankan dalam dua bentuk iaitu inkues bagi mengenal pasti punca kematian dan siasatan jenayah menjurus kepada perbuatan buli.
Beliau berkata, kedua-dua siasatan akan dilakukan secara menyeluruh mengikut prosedur undang-undang.
Katanya, inkues akan memberi tumpuan kepada semua bukti dan maklumat berkaitan bagi menentukan punca kematian. Ia bagi menjawab persoalan semua pihak berkenaan apa yang menyebabkan kejadian itu berlaku.
“Sebab itu kita ada dua hala tuju siasatan, satu siasatan daripada sudut inkues. Kertas siasatan pun sudah dua kali dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kita telah mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil dan segala maklumat akan dikemukakan mengikut prosedur yang ditetapkan. Siasatan jenayah pula akan memfokuskan kepada aspek perbuatan buli,” katanya.
Kumar berkata, polis membuka 15 kertas siasatan berkaitan berita tidak sahih termasuk dakwaan Zara Qairina dibuli menggunakan mesin basuh.
“Di sini pihak polis akan menyiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia,” katanya.
Katanya, susulan itu, seorang wanita berusia 39 tahun ditahan untuk siasatan di Rawang, Selangor pada minggu lalu.
“Kes masih dalam proses siasatan. Wanita itu juga telah dibebaskan dengan jaminan polis sebaik ditahan. Kita juga sudah membuka 15 kertas siasatan terhadap macam-macam berita yang tidak sahih dikeluarkan,” katanya. – UTUSAN






