SUBANG: Indonesia memberi kebenaran kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyoal siasat juruterbang yang ditahan di negara itu kerana disyaki cuba menyeludup dadah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian telah menerima taklimat awal daripada Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berhubung perkara itu.
Katanya, hasil soal siasat akan dikongsikan kepada umum selepas selesai proses-proses berkaitan.
“Sejak awal lagi, penyiasat kita diberikan akses oleh pihak berkuasa Indonesia untuk menemu bual subjek terbabit.
“Proses itu masih berjalan dan kita perlu memberi ruang kepada mereka untuk menyelesaikan tugas terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penerimaan Helikopter AW189 di Stesen Udara Maritim Subang di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, rancangan mempertingkatkan kawalan keselamatan di lapangan terbang akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
Tambahnya, beliau telah menerima taklimat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pasukan yang menyelaras perkara itu membabitkan pelbagai agensi.
“Saya memberi mereka tempoh dua minggu bermula minggu lalu untuk mengkaji perkara ini.
“Saya akan meneliti perkara itu terlebih dahulu dan jika tiada perubahan, saya akan membentangkannya dalam mesyuarat Kabinet akan datang bersama Menteri Pengangkutan,” katanya.
Pada 28 Julai lalu, seorang juruterbang Malaysia berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Hasil pemeriksaan menemukan 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan methamphetamine dalam bagasinya. – UTUSAN






