PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menolak cadangan untuk menghapuskan program matrikulasi dan menyifatkannya sebagai tidak wajar kerana ia menafikan falsafah asal penubuhannya yang bertujuan membantu pelajar bumiputera khususnya dari luar bandar dan kelompok B40.
Setiausahanya, Fouzi Singon berkata, KPT ketika ini mengamalkan sistem meritokrasi yang menilai pemilihan pelajar berdasarkan pencapaian akademik dan kokurikulum.
“STPM mempunyai falsafah berbeza dengan matrikulasi. Matrikulasi diwujudkan khusus untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelajar bumiputera luar bandar dan B40 yang kurang cemerlang dalam sains tulen serta perakaunan supaya mereka mendapat intensif pembelajaran di peringkat asasi dan matrikulasi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau mengulas cadangan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze yang menuntut program matrikulasi dimansuhkan dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadikan sebagai laluan tunggal kemasukan ke universiti awam.
Fouzi berkata, cadangan menghapuskan matrikulasi amat tidak wajar kerana ia akan menjejaskan peluang golongan sasaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal negara.
“Apa yang lebih penting ialah kita kembali kepada falsafah asal penubuhan matrikulasi iaitu membantu bumiputera dan anak luar bandar meningkatkan penguasaan dalam bidang sains, kejuruteraan, perubatan, teknologi dan perakaunan,” katanya.
Sementara itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berpandangan, program matrikulasi perlu dikekalkan sebagai salah satu laluan utama ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) demi memastikan akses pendidikan yang adil dan menyeluruh kepada semua pelajar.
Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, pemansuhan program matrikulasi hanya akan mengehadkan peluang pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan tidak selari dengan matlamat pembangunan pendidikan negara untuk jangka panjang.
“UPSI sentiasa yakin dan Kementerian Pendidikan (KPM) dan KPT amat komited memastikan anak-anak Malaysia mendapat peluang pendidikan tinggi selaras dengan Perlembagaan Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Pihak UPSI berharap isu ini tidak menjadi polemik berterusan dan menasihatkan semua pihak supaya berganding bahu dalam memartabatkan mutu pendidikan tinggi negara,” katanya.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut berpandangan program matrikulasi wajar dikekalkan sebagai salah satu laluan penting ke pendidikan tinggi demi menjamin akses yang adil, saksama dan inklusif kepada semua pelajar.
Menurut kenyataan universiti itu, langkah berkenaan selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan bakat masa depan dan menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi pembangunan negara.
“Pemansuhan program ini berpotensi mengehadkan peluang pelajar ke peringkat universiti dan tidak seiring dengan matlamat pembangunan pendidikan negara dalam jangka panjang.
“UTM berharap isu ini tidak terus menjadi polemik berpanjangan. Semua pihak perlu berganding bahu bagi memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara demi menjamin masa depan generasi muda,” katanya. – MINGGUAN






