SHAH ALAM: Seramai 5,000 sukarelawan diperlukan untuk mendaftar seaara fizikal bermula hari ini, bagi membantu kelancaran temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor pada tahun depan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd. Najwan Halimi berkata, pihaknya menerusi sekretariat kini dalam fasa mengenal pasti dan merekrut sukarelawan sementara pendaftaran secara fizikal dibuka menerusi pelaksanaan program Konvensyen Belia Selangor di Raja Muda Musa, Seksyen 7.
“Kita akan membuka secara fizikal terlebih dulu di program tertentu sebelum memperluaskannya secara dalam talian nanti.
“Pendaftaran akan dibuka dalam tempoh dua bulan ini. Jika sasaran 5,000 sukarelawan itu cepat dicapai, ia pastinya lebih baik,” katanya kepada pemberita, selepas merasmikan konvensyen itu.
Nexbyte melaporkan temasya itu mencatat sejarah tersendiri apabila bakal mempertandingkan acara sukan terbanyak iaitu 474 berbanding 469 pada SUKMA Sarawak sebelum ini.
Ia melibatkan 30 jenis sukan teras dan tujuh jenis sukan tambahan yang sudah pun diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal SUKMA bulan lalu.
SUKMA Selangor dijangka berlangsung pada Ogos tahun depan dan acara pembukaannya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Najwan berkata, pendaftaran sukarelawan itu terbuka kepada individu berusia 18 hingga 35 tahun terutama warga negeri ini.
“Kita tiada larangan jika ada rakyat negeri lain mahu menyertainya namun keutamaan ketika ini bagi rakyat Selangor kerana ia melibatkan sembilan daerah dan bukan tertumpu di Petaling. Justeru, kita memerlukan penglibatan sukarelawan di seluruh daerah,” ujarnya.
Tambah beliau, sukarelawan itu akan dilengkapkan dengan kemahiran tambahan seperti pemahaman berkaitan pengurusan acara dan protokol. – UTUSAN






