KLANG: Individu penangkap anjing liar dikatakan terlibat dalam insiden yang menyebabkan kematian ‘Rocky’ akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis ini.
Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Mahmud Abdul Jumaat yang mewakili Muhammad Shah Hizam, 24, memberitahu, anak guamnya itu sudah pun menerima saman daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Muhammad Shah sudah diserahkan saman oleh pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Kami akan hadir pada pukul 9 pagi pada 20 Ogos ini (Khamis),” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, beliau belum dapat memastikan akta atau seksyen dalam pertuduhan yang akan dihadapi oleh Muhammad Shah sehingga ia dibacakan di hadapan hakim nanti.
Pada 29 Julai lalu, individu berkenaan menjadi sasaran selepas tindakannya dikatakan menyebabkan seekor anjing liar mati dekat Taman telok Gedong Indah, Pelabuhan Klang di sini.
Insiden tersebut tular dalam media sosial yang memaparkan seorang penangkap anjing liar sedang menangkap haiwan itu di kawasan perumahan berkenaan, namun dihalang oleh seorang individu lain yang mendakwa ia adalah haiwan miliknya.
Situasi tersebut menimbulkan kekecohan dan menjadi lebih buruk apabila anjing tersebut mati ketika kejadian.
Sebelum ini, pemuda itu menjadi sasaran kemarahan netizen selepas video yang mendakwa dia telah bertindak kejam dengan menyeksa sehingga menyebabkan kematian Rocky di Taman Telok Gedong Indah, di sini pada 29 Julai lalu tular di media sosial.
Muhammad Shah mendakwa, telah menerima ancaman terhadap diri dan keluarganya selepas kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, Muhammad Shah kemudian mendakwa, menerima ancaman terhadap diri dan keluarganya selepas kejadian berkenaan. – UTUSAN






