KUALA LUMPUR: Timor Leste mengorak langkah penting ke arah menyertai ASEAN sebagai anggota ke-11 menerusi penyerahan dokumen keahliannya dalam satu majlis yang diadakan hari ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, majlis upacara penyerahan instrumen penyertaan itu menandakan kemasukan penuh Timor-Leste sebagai ahli baharu ASEAN.
“Hari ini, kita meraikan Timor Leste sebagai sebuah negara yang dibina atas keberanian, ketabahan dan harapan yang tidak pernah luntur, ketika anda menyertai sebuah keluarga yang sekian lama menantikan penyertaan penuh anda.
“Selamat datang ke Keluarga ASEAN dan ke Piagam yang kami junjung tinggi ini,” katanya dalam Majlis Penyerahan Instrumen Penyertaan Timor Leste Ke Atas Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) hari ini.
Dalam pada itu Mohamad berkata, melalui perjanjian SEANWFZ, Timor-Leste akan bersama ASEAN dalam komitmen teguh memastikan Asia Tenggara kekal sebagai rantau aman dan bebas daripada ancaman senjata nuklear.
“Piagam ASEAN bukan sekadar dokumen asas sebaliknya menjadi nadi kepada visi bersama ASEAN yang bertindak sebagai satu ikatan kepercayaan, rasa hormat dan solidariti yang menyatukan pelbagai negara demi memastikan keamanan serta kemakmuran.
“Dengan menyertai Piagam ini, Timor-Leste telah berikrar untuk berjalan seiring dengan kita semua, menyulam aspirasi rakyatnya ke dalam komuniti ASEAN yang sentiasa berkembang,” jelasnya.
Penyertaan Timor Leste juga menjadi bukti dan tekad berterusan ASEAN untuk memelihara rantau ini sebagai kawasan yang damai, stabil dan selamat untuk dikongsi bersama.
“Penyertaan ini bukan sekadar satu formaliti institusi; ia mencerminkan kepercayaan mendalam Timor-Leste terhadap idealisme ASEAN, serta keyakinan terhadap masa depan bersama yang dibina atas keharmonian, kerjasama dan saling menghormati,” jelasnya.-UTUSAN






