KUALA LUMPUR: Timor Leste yang sah menjadi anggota ASEAN dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, menyifatkan ia sebagai peluang besar dalam bidang pelaburan, perindustrian, pendidikan dan ekonomi digital di negara itu.
Perdana Menteri Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmao berkata, negara itu bersedia untuk memperkukuh blok ASEAN dengan memberi sumbangan sebaik mungkin dengan tidak hanya mengharapkan bantuan semata-mata.
“Timor Leste menjadi negara anggota ASEAN dengan komitmen penuh kepada setiap negara anggota dan bersedia untuk berdikari serta bekerjasama menjaga rantau Asia Tenggara.
“Kami juga akan berusaha untuk bersama-sama membina kekuatan serantau dan memperkukuh blok dalam memastikan tiada negara anggota yang tertinggal,” katanya berucap di Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini semalam.
Tambah Xanana Gusmao, keanggotaan Timor Leste dalam blok ASEAN merupakan kesinambungan hubungan semula jadi yang berpaksikan kedekatan geografi, kesamaan budaya, serta keperluan strategik untuk masa depan negara kami.
Beliau juga berkata, penyertaan tersebut menandakan kesinambungan visi sebuah keluarga serantau yang benar-benar bersatu dengan melibatkan nilai-nilai bersama, aspirasi yang sehaluan dan kejayaan kolektif.
“Sejak menjalani proses penilaian pada tahun 2011, kami telah memperkukuh institusi, menambah baik dasar-dasar negara, serta memperteguh semangat kami digerakkan oleh sokongan dan harapan daripada ASEAN serta rakan-rakannya.
“Kejayaan ini merupakan lambang kepada semangat juang rakyat kami dan kematangan demokrasi muda yang sedang berkembang pesat,” katanya.
Menurut Xanana Gusmao lagi, ASEAN hari ini menegaskan pentingnya semangat perpaduan dan kesatuan dalam kepelbagaian, serta komitmen untuk memperkukuh nilai-nilai terasnya saling menghormati, bekerjasama, dan bersolidariti.
Sementara itu, petugas media Timor-Leste menitiskan air mata kegembiraan apabila negara itu secara rasminya diumumkan sebagai anggota ke-11 dalam ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di KLCC, semalam.
Pegawai Media di Pejabat Presiden Timor-Leste, Domingos Tilman berkata, berita gembira mengenai penyertaan rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN itu membuatkan dirinya sedikit emosional, memandangkan ia merupakan hasil penantian dan usaha berterusan selama bertahun-tahun yang akhirnya membuahkan hasil.
“Ia agak emosional kerana sudah sekian lama Timor-Leste berusaha keras untuk menyertai ASEAN. Sejak bertahun-tahun lalu, bermula pada 1974 sebenarnya, Presiden, José Ramos-Horta sendiri ketika itu telah mula mendekati negara-negara ASEAN untuk mengadakan beberapa pertemuan, termasuk dengan pemimpin Indonesia pada masa itu, Adam Malik.
“Selama bertahun-tahun, kami hanya menjadi negara pemerhati dalam ASEAN, namun kini kami secara rasmi diterima sebagai anggota penuh.
“Ia seperti membuka satu pintu besar baharu, satu peluang yang lebih luas untuk Timor-Leste memberi sumbangan lebih besar di rantau ini, khususnya dalam ASEAN sendiri. Saya amat berbangga kerana ini merupakan hasil perjuangan yang sangat panjang dan usaha yang berterusan untuk menyertai ASEAN,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam. – UTUSAN






