MELAKA: Gara-gara terasa hati dengan gurauan ibu yang meminta membayar semula kos ujian lesen memandu motosikal (B2), seorang pemuda nekad menghilangkan diri selepas keluar dari rumah keluarganya di Bukit Katil di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki berusia 18 tahun itu dilaporkan hilang sejak 1 November lalu sebelum berjaya dikesan hasil maklumat orang awam, semalam.
Menurutnya, seorang lelaki memaklumkan ternampak pemuda itu dalam keadaan mundar-mandir di hadapan rumahnya sekitar pukul 12.45 tengah malam.
“Apabila ditanya, pemuda itu memberitahu mahu makan di sebuah restoran berhampiran. Soal siasat terhadap pekerja restoran mendapati, dia datang berseorangan dan hanya makan telur serta minum air suam sebelum beredar menghala ke Tehel dengan berjalan kaki.
“Pada pukul 9.50 malam semalam, pihak kami dimaklumkan dia kembali ke premis sama dan pukul 10.05 malam dia ditemui dalam keadaan baik dan sihat,” katanya.
Christopher berkata, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di restoran mengesahkan identiti pemuda tersebut
“Dia mengikuti ujian lesen motosikal, namun gagal. Ibunya sekadar bergurau dengan berkata, jika tidak mahu ambil semula ujian, dia perlu bayar balik duit yang telah dikeluarkan. Namun, dia dipercayai terasa hati lalu bertindak keluar dari rumah,” katanya.- UTUSAN





