PETALING JAYA: Kerajaan telah memperuntukkan RM850,000 bagi pelaksanaan Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) di negeri Pahang.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, peruntukan itu untuk memperkukuh pemeliharaan serta pemuliharaan sungai selaras dengan agenda kemampanan Malaysia MADANI.
“Pelaksanaan denai tersebut telah bermula pada 16 April 2025 dan siap sepenuhnya pada 11 Jun 2025, melibatkan kerja menaik taraf denai sepanjang 450 meter.
“Denai ini menyasarkan untuk menarik kehadiran sehingga 2,000 pengunjung sebulan bagi memelihara, memulihara dan memanfaatkan sumber alam secara lestari,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, PETRA berkata, pelaksanaan DSK berperanan mewujudkan rasa kepemilikan (sense of belonging) dalam kalangan masyarakat selain meningkatkan kesedaran menjaga kelestarian sungai, mengurangkan pencemaran serta merancakkan ekonomi setempat.
Peruntukan itu diumumkan melalui PETRA sempena Majlis Perasmian Denai Sungai Lipis di Batu Malim, Raub yang disempurnakan Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan Projek Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting di Bentong oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Pada masa sama, Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) turut diberikan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu Malim atas komitmen komuniti menjaga sumber air dan sungai setempat. – UTUSAN






