HAT YAI, THAILAND: Hat Yai merupakan lokasi pelancongan popular apabila dikunjungi antara 100,000 sehingga 200,000 pelancong dari Malaysia setiap bulan.
Kerancakan sektor pelancongan di wilayah itu menyaksikan anggaran RM4 bilion atau lebih duit rakyat Malaysia mengalir ke negara jiran itu sepanjang tahun.
Bagaimanapun, banjir besar melanda selatan Thailand baru-baru ini khususnya Hat Yai yang disifatkan terburuk dalam tempoh 25 tahun menyaksikan lokasi pelancongan tersebut berdepan kemusnahan cukup dahsyat.
Anggaran kerugian atau nilai kerosakan mencecah sehingga RM1.3 bilion dengan lokasi-lokasi tumpuan pelancongan, hotel, kedai-kedai makanan popular, premis perniagaan, tempat membeli-belah semua terjejas teruk.
Malah, kebanyakan peniaga mengalami kerugian besar selepas stok barangan sebagai persediaan bagi menyambut kedatangan pelancong Malaysia sempena cuti Krismas dan tahun baharu hampir musnah sepenuhnya.
Wartawan dan jurugambar Nexbyte yang melakukan tinjauan di Hat Yai pada Ahad lalu mendapati lokasi pelancongan tersebut lengang tanpa kelibat pelancong dari Malaysia.
Peniaga dan penduduk di situ dilihat masih melakukan kerja-kerja pembersihan dan baik pulih premis perniagaan meskipun bencana tersebut sudah berlalu hampir sebulan.
Keadaan di Floating Market atau pasar terapung yang menjadi antara lokasi tumpuan rakyat Malaysia menyaksikan kesan kemusnahan masih ketara dengan perahu hancur, bertaburan dalam air.
Tiada lagi pemandangan menarik perahu tersusun rapi di dalam air, kerancakan para peniaga dan kemeriahan ribuan pelancong di kawasan itu. Suasana sunyi sepi dengan hanya yang tinggal kesan kemusnahan dahsyat.
Pemerhatian juga mendapati peniaga yang sudah menjalankan perniagaan hanya mampu termenung menunggu pelanggan. Sebelum ini, kebanyakan pelanggan adalah dari Malaysia. Baju-baju yang dibersih dan sempat diselamatkan juga dilihat dilelong kepada pelanggan dengan harga murah.
Peniaga mengakui, ketiadaan pelancong dari Malaysia ternyata memberi kesan kepada perniagaan mereka dan impak kepada pelancongan di Thailand khususnya Hat Yai.
Mereka juga berharap Hat Yai akan bangkit seterusnya merancakkan semula sektor pelancongan dan menarik kembali kepercayaan pelancong yang trauma bercuti ke bandar itu selepas bencana banjir besar tersebut.
Ada peniaga memaklumkan paras air sehingga enam meter ketika banjir baru-baru ini menyebabkan barangan dan kedai hampir musnah dengan memerlukan masa, sokongan serta bantuan kerajaan negara itu untuk bangkit.
Seorang pengusaha kedai makan, Katthaleeya Phromphakdee, 45, berkata, ketiadaan pelancong dari Malaysia sangat memberi kesan dengan kedai-kedai makan dan pakaian lengang.
Katanya, ketika ini, ada kedai sudah beroperasi seperti biasa namun masih banyak yang memerlukan masa untuk bangkit selepas mengalami kemusnahan cukup teruk.
“Diakui rakyat Malaysia banyak menyumbang kepada ekonomi peniaga dan masyarakat setempat di sini.
“Pada masa ini, peniaga dan penduduk Hat Yai masih melakukan kerja-kerja pembersihan dan baik pulih premis-premis perniagaan. Ramai masih berharap dapat kembali beroperasi sebelum Krismas dan tahun baharu. Banjir yang melanda baru-baru ini sangat teruk dengan kemusnahan harta benda serta meragut banyak nyawa,” katanya.
Peniaga di sekitar Plaza Lee Garden pula memaklumkan sebelum ini, hampir 70 peratus pelancong yang bercuti di Hat Yai adalah rakyat Malaysia dan kelaziman pada musim cuti persekolahan bulan ini lokasi berkenaan akan padat dengan pengunjung.
“Namun, Hat Yai yang masih dalam proses pemulihan ketika ini menyebabkan tidak ada lagi pelancong dari Malaysia dan ia sangat memberi kesan kepada peniaga di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar sempena cuti hujung minggu juga didapati agak terkawal dengan tiada lagi pemandangan orang ramai berpusu-pusu masuk dan beratur panjang untuk ke negara gajah putih tersebut. – UTUSAN





