KANGAR: Sistem saliran, takungan air dan perparitan sedia ada di Malaysia tidak lagi sesuai menampung hujan ekstrem, sekali gus meningkatkan risiko banjir besar akibat perubahan corak iklim dan monsun tidak menentu.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, infrastruktur dan sistem sedia ada dibina berdasarkan situasi hujan atau monsun zaman terdahulu.
Katanya, trend global pemanasan dan laut semakin panas menjadikan monsun di rantau ini membawa hujan ekstrem yang lebih kerap.
“Situasi ini menyaksikan risiko banjir dan bencana semakin meningkat dan ia bukan berlaku sekali-sekala sebaliknya berulang serta lebih ekstrem.
“Banjir besar kini, walaupun nampak seperti sudah dijangka semasa monsun, namun sebenarnya ia menunjukkan perubahan corak iklim dan monsun.
“Ribut tropika seperti Senyar antaranya boleh memperburuk keadaan, tetapi ia bukan punca mutlak. Faktor asas tetap berkaitan perubahan iklim dan ketidakstabilan monsun.
“Jadi, Malaysia perlu menilai semula strategi mitigasi dan adaptasi banjir termasuk keupayaan sistem perparitan, pengurusan takungan air, amaran awal dan perancangan bandar berdasarkan kejadian ekstrem tersebut.
“Kesedaran awam dan dasar alam sekitar yang lebih proaktif juga cukup penting terutama dalam konteks pembangunan lestari dan pengurusan risiko bencana,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Katanya lagi, kajian terhadap corak hujan di Asia Tenggara menunjukkan hujan ekstrem menjadi lebih kerap semasa musim monsun biasa.
“Misalnya, ada analisis menunjukkan bahawa sejak 1970-an, anomalinya atau keadaan abnormal menunjukkan bahawa monsun dan musim hujan di rantau ini kini lebih berubah-ubah atau susah diramal dengan episod hujan lebat luar biasa berlaku dalam tempoh yang singkat.
“Faktor pemanasan global menyebabkan kandungan lembapan dalam udara bertambah secara signifikan dan menyebabkan atmosfera mampu menyimpan lebih banyak wap air. Ini menyebabkan apabila sistem hujan terbentuk, ia boleh membekalkan hujan jauh lebih lebat daripada sebelumnya.
“Oleh itu, dalam tempoh akan datang apabila bercakap tentang banjir luar biasa, ia akan menjadi fenomena cuaca ekstrem yang akan berulang di masa hadapan,” katanya.
Kata Norazian, di Malaysia, musim hujan utama dikaitkan dengan monsun khususnya Monsun Timur Laut yang lazim berlaku dari November hingga Mac pada setiap tahun.
Katanya, bagaimanapun, dalam corak monsun sama ada daripada segi intensiti, hujan luar biasa dan variabiliti musim hujan menjadikan banjir lebih sukar diramal dan lebih buruk sekiranya bencana tersebut berlaku.
“Variabiliti musim hujan bermaksud perubahan atau turun naik dalam corak hujan daripada satu tahun ke tahun yang lain atau dalam satu musim berbanding musim sebelumnya.
“Ia merujuk kepada bagaimana jumlah hujan, tempoh hujan, intensiti hujan dan masa berlakunya hujan boleh berubah-ubah tidak seperti yang dijangka berdasarkan purata jangka panjang.
“Sesetengah penyelidikan juga menunjukkan bahawa kombinasi faktor monsun, perubahan suhu laut dan pelepasan haba melalui pemanas global juga membantu mengubah sifat hujan daripada sederhana dan berterusan kepada sangat lebat dan singkat (ekstrem).
“Apabila kita menyaksikan taburan hujan sangat lebat dalam masa singkat, ini mungkin petanda monsun ekstrem yang dipengaruhi perubahan iklim,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata,
pembinaan perumahan tanpa kawalan dan perancangan yang betul menjadi antara faktor banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah terjejas dengan banjir mula dinaiki air.
Katanya, sesuatu pembinaan atau perancangan sesuatu kawasan perlu dilihat kepada keperluan dan kesan antara lima atau 10 tahun ke depan.
“Kena kawal pembinaan yang boleh menjejaskan masa depan dan menimbulkan masalah seperti alam sekitar, tanah dan saliran,” katanya.
Katanya, selain itu, isu sampah yang memberi kesan kepada ekosistem turut menjadi antara faktor berlakunya banjir apabila saliran atau longkang tersumbat akibat sisa berkenaan.
Ujar beliau, pasca banjir akan dapat disaksikan sampah dihanyutkan dan kebanyakan longkang tersumbat menyebabkan air sukar mengalir.
“Masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan tidak membuang sampah merata serta menguruskan sisa pepejal dengan baik,” katanya.
Pensyarah kanan (keusahawanan) Jabatan Perniagaan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Atikah Nor Johari pula berkata, kerajaan perlu
melaksanakan pengurusan banjir yang sistematik antaranya seperti Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (NaFFWS) yang menyediakan maklumat hujan lebat dan paras air kepada orang awam secara berterusan.
“Kerajaan juga perlu memulihkan dan menaik taraf infrastruktur pengairan dan tebatan banjir yang bukan bersifat sementara tetapi membawa kepada ketahanan jangka panjang,” katanya. – UTUSAN






