SHAH ALAM: Kerjaya sebagai seorang peguam sering disalah erti sebagai meletakkan kaki sebelah di ‘neraka’ apabila perlu membela orang yang melakukan kesalahan termasuk jenayah.
Bagaimanapun, tanggapan tersebut adalah tidak benar, sebaliknya setiap orang yang dituduh di mahkamah berhak mendapat pembelaan dan dia tidak semestinya bersalah sehingga dibuktikan demikian melalui perbicaraan berdasarkan hujahan dan fakta-fakta dikemukakan semasa prosiding itu.
Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Farid Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, undang-undang menetapkan bagi setiap orang yang dituduh di mahkamah dianggap tidak bersalah sehinggalah ia dibuktikan sebaliknya (innocent until proven guilty).
“Sebenarnya, peguam bukan membela orang yang bersalah. Sebaliknya dia membela orang yang dituduh. Itu asasnya. Maknanya apabila orang dituduh, undang-undang mengatakan semua orang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan demikian.
Jadi, seorang peguambela di mahkamah jenayah membela seseorang yang dituduh, bukan bersalah. Tetapi, kecenderungan orang kita, ‘apa itu lawyer, bela orang salah’. Tidak. Kita membela orang yang dituduh berdasarkan haknya, dia (tertuduh) juga ada hak untuk dibela,” katanya pada sesi soal jawab dalam Syarahan Perdana Ketua Hakim Negara anjuran Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Jelasnya, konsep yang dinyatakan dalam ajaran Islam iaitu membela orang yang dituduh kerana belum tentu bersalah.
“Kalau dia (tertuduh) disabitkan (dengan kesalahan), ada orang lagi untuknya merayu di Mahkamah Rayuan dan seterusnya di Mahkamah Persekutuan,” tambahnya.
Terdahulu, Wan Farid dalam sesi sama menegaskan tugas seorang hakim bukanlah mengejar populariti dalam membuat keputusan, sebaliknya pemegang tanggungjawab itu perlu memutuskan penghakimannya berdasarkan undang-undang dan fakta.
“Menjadi hakim bukan satu pertandingan popular, kita (hakim) bukan cenderung menjadi popular. Kita menjalankan tugas mengikut sumpah sebagai hakim dan mempertahankan perlembagaan persekutuan.
Jadi, sama ada dalam menjalankan tugas itu kita menjadi popular atau tidak, itu tidak haru menjadi pertimbangan kita. Selagi kita buat keputusan berdasarkan undang-undang dan fakta, maknanya nurani kita jelas. Maka, insya-Allah kita akan berada di landasan yang betul,” ujarnya. – UTUSAN






