PETALING JAYA: Operasi perkhidmatan tren MySawasdee bernombor 1004 dan 1005 ditangguhkan sementara berikutan keperluan pemeriksaan keselamatan pasca banjir serta kerja-kerja pembersihan dan baik pulih di kawasan yang belum stabil.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan, pembatalan perjalanan melibatkan laluan dari KL Sentral ke Hat Yai dan laluan sebaliknya bermula dari 5 hingga 8 Disember dan 12 hingga 15 Disember ini.
Pembatalan menjejaskan seramai 837 penumpang dengan 683 daripadanya belum membuat pembatalan tiket.
Pada masa sama, pihak berkuasa Thailand sedang menjalankan pemeriksaan infrastruktur rel serta penilaian teknikal untuk menentukan tahap keselamatan laluan sebelum sebarang operasi tren dapat dijalankan.
Bagi pembelian tiket dalam talian, penumpang boleh membuat pembatalan melalui aplikasi KITS dengan memilih ‘MyTicket → Upcoming Ticket → Refund’.
“Penumpang akan menerima pemulangan tambang penuh secara serta-merta ke dalam KTM Wallet untuk kegunaan pembelian tiket pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, seramai 196 penumpang bagi kedua-dua laluan yang telah membuat pembatalan awal juga layak menerima baki pemulangan tambang.
Jadual dan tarikh perjalanan perkhidmatan MySawasdee yang seterusnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, tertakluk kepada perkembangan dan situasi semasa di Hat Yai.
KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dialami para penumpang dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pihak sepanjang situasi ini.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200. – UTUSAN






