SHAH ALAM: Harga barang keperluan di Gaza didakwa naik sehingga 200 kali ganda berbanding di negara lain susulan sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Israel.
Aktivis Kemanusiaan Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Dr. Fauziah Hasan berkata, harga yang mahal itu juga turut dikenakan terhadap barangan keperluan bayi termasuk susu.
Katanya, harga barang di sana boleh diibaratkan seperti sekilogram gula dijual pada harga 100 Dolar Amerika Syarikat (ASD) atau kira-kira RM406.
“Kita pun diberitahu, Israel memang sekat benda-benda (barangan keperluan) antaranya adalah susu bayi. Malah doktor daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang datang membawa susu, mereka dibenarkan masuk tetapi susu dirampas.
“Jadi, daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO-NGO) pun kadang-kadang susah hendak bawa masuk. Cuma dibenarkan bawa atas urusan perniagaan. Jadi kita nampak dalam tempat tu ada barang, makanan tetapi mahal.
“Penduduk di sana memang tak dapat beli pada harga tersebut, jadi menjadi tugas NGO-NGO menggunakan duit yang disumbang oleh orang ramai untuk membeli barangan tersebut dan menyerahkan kepada penduduk Gaza,” katanya ketika ditemui, pada Majlis Pelancaran Kempen Musim Sejuk dan Baby Bags untuk Gaza, hari ini.
Semalam, Nexbyte melaporkan musim sejuk ekstrem di Gaza terus memburukkan penderitaan penduduk di wilayah itu selepas lebih dua tahun konflik berterusan dengan Israel, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, hujan lebat dan ribut kuat meningkatkan kesengsaraan penduduk yang sudah lama hidup dalam keadaan serba kekurangan akibat peperangan.
Jelas Dr Fauziah, harga barang tetap mahal dan sebahagiannya cuma turun sedikit ketika gencatan senjata berkuat kuasa apabila hanya 100 buah lori pembawa barangan dibenarkan melepasi sempadan berbanding kira-kira 1,000 lori diperlukan setiap hari.
Katanya, MyCare kini melancarkan kempen musim sejuk bagi meringankan beban krisis kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing apabila jutaan penduduk berdepan keadaan mengancam nyawa.
“Ketika ini, MyCare sedang menyusun 5 buah trak bantuan kemanusiaan termasuk 4 buah trak bantuan pek makanan dan satu trak bantuan selimut yang berjumlah RM600,000.
”Bantuan kemanusiaan ini bagi mengurangkan beban mereka yang sedang dilanda musim sejuk dan persediaan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi,” ujarnya.
Katanya lagi, MyCare menyasarkan 500 pek bayi berjumlah RM 375,000 keseluruhannya, pek bantuan bayi mengandungi bekalan susu formula selama satu bulan dan pampers yang berjumlah RM750 setiap satu pek.
“MyCARE mengadakan kerjasama strategik dengan Klinik AJWA, bagi mengumpul dana sebanyak RM 100,000 ringgit khusus untuk bantuan pek bayi di Gaza,” katanya.
Terdahulu, lima trak bantuan MyCare merangkumi empat trak membawa 80 tan tepung serta satu trak membawa 1,000 pek makanan dengan nilai keseluruhan RM360,000 telah berjaya masuk ke Gaza melalui pintu Rafah.
MyCare memulakan projek kemanusiaan berskala besar di Gaza dan dilaksanakan dilaksanakan sehingga September 2026.
Untuk salurkan sumbangan boleh layari mycare.qrd.by/ajwa atau terus ke akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad (CIMB Islamic 8602 135 592). – UTUSAN






