PETALING JAYA: Bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi, Shah Alam bagi membatalkan sebahagian daripada 14 syarat yang ditetapkan Mahkamah Majistret terhadap penjagaan anak keduanya.
Rayuan itu difailkan melalui Tetuan Haresh Mahadevan & Co. pada 26 November lalu bagi mempertikaikan syarat serta bon yang dikenakan ke atas Zaim Ikhwan Zahari, 30, di bawah Seksyen 30 (1) (a) dan Seksyen 30 (8) Akta Kanak-kanak 2001 selepas keputusan dibuat pada 21 November lalu.
Menurut notis rayuan, Zaim Ikhwan tidak berpuas hati terhadap beberapa syarat termasuk keperluan kawal selia dan pemantauan tertentu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sebelum ini, selepas 18 bulan berada di bawah jagaan nenek saudara dan pengawasan JKM, Mahkamah Majistret membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun itu diserahkan semula kepada bapanya.
Bagaimanapun, Majistret Ameera Mastura Khamis menetapkan 14 syarat antaranya memastikan kanak-kanak yang menghidap autisme itu tidak ditinggalkan berseorangan tanpa pengawasan orang dewasa.
Syarat lain termasuk memastikan tiada unsur penganiayaan atau pengabaian berlaku serta memastikan kanak-kanak berkenaan menerima pendidikan dan terapi sewajarnya.
“Mahkamah turut memerintahkan bapa dan anak tersebut tinggal di alamat yang ditetapkan dan sebarang perpindahan hendaklah dimaklumkan kepada JKM terlebih dahulu.
“Kanak-kanak itu juga tidak boleh dijadikan kandungan (content) di media sosial atau mana-mana platform media,” kata notis itu.
Selain itu, Zaim Ikhwan diwajibkan menghadiri sesi kaunseling bersama Kaunselor JKM Negeri Selangor setiap tiga bulan.
Beliau turut diarahkan membawa anaknya menziarahi ibu kandung sekurang-kurangnya dua bulan sekali dan menyerahkan kad lawatan kepada pihak pelindung setiap enam bulan.
“Pada bila-bila masa, pelindung boleh melawat kanak-kanak itu sama ada di rumah atau di mana-mana lokasi kanak-kanak berada.
“Pelindung juga dibenarkan melantik ahli Pasukan Pelindung Kanak-kanak untuk menjalankan pemantauan ke atas bapa kandung dan kanak-kanak tersebut,” menurut notis itu lagi.
Zaim Ikhwan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengabaikan Allahyarham Zayn Rayyan manakala isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, diperintahkan membela diri.
Pada 31 Oktober lalu, Ismanira dihantar ke Penjara Wanita Kajang untuk menjalani hukuman lima tahun selepas didapati bersalah mengabaikan Zayn Rayyan manakala permohonannya menangguhkan hukuman ditolak oleh Hakim Dr. Syahliza Warnoh. – UTUSAN






