JOHOR BAHRU: Seorang ibu nekad memutuskan hubungan dengan anaknya setelah diugut ceti haram yang mahu membakar rumah dan menangkapnya disebabkan hutang anaknya.
Wanita yang dikenali sebagai Siah, 45, terkejut mendapat tahu anak lelakinya berusia 27 tahun telah membuat pinjaman dengan ah long sebanyak RM1,000 setelah dihubungi sindiket berkenaan.
Suri rumah itu berkata, dia telah dihubungi oleh ah long menggunakan nombor telefon berbeza menuntut melangsaikan pinjaman dibuat anak keduanya itu sehingga mencecah RM5,000.
“Ketika di rumah di Seremban, Negeri Sembilan, saya menerima ugutan daripada ah long yang bukan sahaja mengugut untuk membaling cat merah dan membakar rumah, malah mereka turut mengugut untuk menculik dan menjual saya.
“Hal ini menyebabkan saya merasakan keselamatan diri dan keluarga saya terancam selain bimbang berlaku kemusnahan harta benda.
“Saya sudah dua tahun tak berjumpa anak saya itu. Saya pun tidak tahu di mana di berada sekarang. Dalam situasi ini, saya memilih untuk memutuskan hubungan dengannya,” katanya di sini semalam.
Katanya, anaknya itu hanya menerima RM500 daripada pinjaman RM1,000 yang dibuat melalui media sosial.
Siah memberitahu, anak sulung, adik dan kakak iparnya turut mendapat mesej ugutan daripada ah long yang sama.
Katanya, dia turut menerima surat ugutan yang dihantar ke rumah sebagai amaran terakhir sebelum mengambil tindakan keras terhadapnya.
“Menurut surat itu, jika saya mengabaikan mesej mereka atau bagi alasan tidak ada duit, saya perlu membayar dengan harga lebih tinggi selain ugut untuk bakar rumah.
“Mereka juga mencabar saya membuat laporan polis untuk lihat sejauh mana polis dapat menjamin keselamatan diri kami sekeluarga,” katanya.
Menurut Siah, dia telah membuat laporan di Balai Polis Skudai, 1 Disember lalu. – UTUSAN





