GEORGE TOWN: Sebanyak 16 warisan merangkumi 10 makanan tradisional dan enam warisan kebudayaan tidak ketara diwartakan sebagai Warisan Negeri Pulau Pinang di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011.
Antara 10 makanan tradisional yang diangkat sebagai warisan negeri ialah nasi kandar, pasembor, char kue kak, oh chien, kerabu bihun, mi Hokkien, mi udang, mi sotong, mi Jawa dan roti Benggali.
Sementara itu, enam item warisan kebudayaan tidak ketara yang diiktiraf ialah budaya nasi kandar, budaya kopitiam, perarakan Thaipusam, perarakan Chingay, perayaan St. Anne Bukit Mertajam serta loghat bahasa Tanjong Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pewartaan tersebut merupakan langkah strategik bagi memastikan warisan yang telah diamalkan sejak turun-temurun tidak terhakis akibat arus pembangunan pesat.
”Pulau Pinang sememangnya dikenali sebagai negeri yang kaya dengan sejarah serta kepelbagaian budaya hasil keharmonian masyarakat berbilang kaum yang membentuk identiti unik negeri itu sejak sekian lama.
”Kesemua elemen warisan ini, termasuk makanan, perayaan, adat resam dan amalan sosiobudaya, membentuk khazanah kebudayaan Pulau Pinang yang wajar dipelihara dan dipertahankan untuk generasi akan datang,” katanya dalam sidang akhbar majlis pemakluman pewartaan item warisan kebudayaan tidak ketara sebagai warisan negeri di sini, semalam.
Kon Yeow berkata, pewartaan itu dilaksanakan selaras dengan peruntukan Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 serta Peraturan-peraturan Warisan Negeri Pulau Pinang 2016 yang memberi kerangka perundangan jelas bagi usaha pemuliharaan warisan negeri.
Katanya, proses pengiktirafan tersebut dijalankan secara berstruktur melalui Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Sosiobudaya).
”Semua pencalonan telah melalui proses saringan dan penilaian teliti oleh pakar sebelum diperakukan oleh Majlis Warisan Negeri dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
”Pada 10 Disember 2025, kerajaan negeri kemudian meluluskan pencalonan 16 item berkenaan yang kemudiannya disediakan Warta Perisytiharan Negeri untuk tujuan pewartaan rasmi,” katanya.
Tambah beliau, kesemua 16 item berkenaan akan diisytiharkan secara rasmi dalam program Kenduri Warisan yang akan diadakan dalam masa terdekat. – UTUSAN






