PETALING JAYA: Polis merampas sebanyak 1,248 tin dan 108 botol arak pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM123,000, termasuk nilai cukai yang sepatutnya dikenakan.
Rampasan itu susulan penahanan tiga lelaki oleh Pasukan Polis Marin (PPM) termasuk seorang warga emas dalam Op Taring Landai di dua lokasi berasingan di Taiping, Perak pada Rabu lalu.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, serbuan dijalankan kira-kira pukul 4 petang selepas pihaknya terserempak sebuah pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pihak berkuasa mengekori kenderaan itu sehingga di kawasan parkir sekitar Jalan Stesen.
Ujarnya, pemeriksaan menemukan lapan kotak dan 23 peti mengandungi botol serta tin minuman keras pelbagai jenama.
“Dua lelaki tempatan masing-masing berusia 61 dan 37 tahun ditahan.
“Penahanan itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Taman Lake View selepas dua suspek berkenaan mendakwa menghantar beberapa peti tin minuman keras ke lokasi itu.
“Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui 70 peti tin minuman keras dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang mengaku sebagai pemilik rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jaffri berkata, arak itu disyaki tidak bercukai dan semua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen sah bagi memiliki, menyimpan atau menjual minuman keras dalam kuantiti banyak.
“Ketiga-tiga lelaki itu bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976,” katanya. – UTUSAN





