PETALING JAYA: Fenomena ‘masjid hunting’ semakin menjadi trend dalam kalangan umat Islam sepanjang Ramadan.
Ramai mengambil peluang mengimarahkan pelbagai masjid bagi menunaikan solat tarawih dan mengikuti program keagamaan.
Tinjauan Nexbyte mendapati perkongsian mengenai lokasi masjid, jarak berjalan kaki dari stesen pengangkutan awam serta suasana solat yang kondusif menjadi antara keutamaan paling mendapat perhatian netizen.
Di sekitar Lembah Klang, beberapa masjid dikenal pasti menjadi pilihan kerana lokasinya yang strategik dan mudah diakses melalui rangkaian LRT, MRT serta monorel.
Antara yang sering disebut ialah Masjid Al-Sultan Abdullah. Ini kerana ia terletak kira-kira 900 meter dari stesen LRT/MRT Pasar Seni, 850 meter dari MRT Merdeka. Hanya sekitar 200 meter dari Monorel Maharajalela, menjadikannya pilihan popular bagi warga kota.
Masjid As-Syakirin KLCC turut menjadi tumpuan kerana kedudukannya di tengah pusat bandar. Hanya 240 meter dari MRT Persiaran KLCC, 400 meter dari LRT KLCC dan 550 meter dari LRT Ampang Park.
Bagi mereka yang bekerja di kawasan Bangsar dan Universiti Malaya, Masjid Ar-Rahah menjadi pilihan. Dengan jarak sekitar 600 meter dari LRT Kerinchi dan satu kilometer dari LRT Universiti.
Masjid TNB Bangsar pula hanya kira-kira lima minit berjalan kaki dari LRT Abdullah Hukum. Manakala Masjid Negara yang ikonik turut mudah diakses, sekitar lima minit berjalan kaki dari LRT Pasar Seni.
Bagi kawasan di luar Kuala Lumpur, Masjid An Nur Temasya Glenmarie yang terletak kira-kira 1.3 kilometer dari LRT Glenmarie.
Juga Masjid Raja Haji Fi Sabilillah di Cyberjaya, kira-kira 3.7 kilometer dari MRT Cyberjaya Utara, turut menjadi pilihan komuniti setempat.
Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi di Putrajaya juga sering disebut sebagai destinasi tarawih pilihan.
Trend ‘masjid hunting’ ini bukan sahaja memberi peluang kepada umat Islam merasai suasana berbeza di setiap masjid. Malah menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta memperkukuh ukhuwah sesama jemaah.
Bagi sebahagian anak muda, pengalaman mendengar bacaan imam berbeza, menyertai moreh dan program tazkirah serta menikmati suasana Ramadan di lokasi berlainan menjadi tarikan tersendiri.
Fenomena ini memperlihatkan Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi turut menyatukan komuniti melalui pengalaman rohani yang dikongsi bersama di masjid-masjid sekitar Lembah Klang. – UTUSAN






