PETALING JAYA: Sebanyak 15 kawasan di Semenanjung berada pada tahap satu atau berjaga-jaga dan tiga kawasan di tahap dua gelombang haba selepas merekodkan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius.
15 kawasan tahap satu ialah seluruh Perlis; Sik, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah.
Di Pulau Pinang di Timur Laut dan Utara, manakala di Perak membabitkan Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar. Manakala satu lagi kawasan kawasan ialah seluruh Kuala Lumpur.
Pendang, Pokok Sena dan Baling kini berada pada gelombang haba tahap dua dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah celsius dalam tempoh tiga hari berturut-turut.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini merupakan rutin tahunan memandangkan Malaysia kini berada di penghujung peralihan Monsun Timur Laut (MTL).
“Berdasarkan rekod pemantauan daripada MetMalaysia, trend cuaca panas ini telah bermula sejak Februari lalu dan dijangka terus berlarutan sehingga fasa awal Monsun Barat Daya pada Jun.
“Kemuncak fenomena cuaca panas dijangka berlaku antara pertengahan Mac hingga pertengahan April yang berpunca daripada kekurangan litupan awan yang membawa hujan serta kedudukan matahari yang berada tegak di atas rantau negara pada tempoh tersebut,” katanya kepada Nexbyte.
Menurut Mohd. Hisham, suhu pada waktu puncak buat masa sekarang boleh mencecah sehingga 37 darjah Celcius dan ke atas terutama bagi negeri-negeri Utara Semenanjung.
Bagaimanapun, tambah beliau, perubahan pergerakan angin yang lebih lemah ketika ini mendorong taburan hujan lebih banyak pada hujung minggu ini.
“Taburan hujan dijangka lebih banyak dalam penghujung minggu ini, sekitar empat hingga lima hari berikutan perubahan pergerakan angin yang lebih lemah iaitu kelajuan kurang daripada 10 kilometer sejam (km/j).
“Kemungkinan ini adalah petunjuk fasa peralihan monsun telah bermula yang menandakan berakhirnya musim MTL di negara kita,” katanya.
Berikutan cuaca panas tersebut, Pengarah Meteorologi Malaysia Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz menjangkakan cuaca panas dan tanpa hujan yang melanda Kedah ketika ini akan berlarutan sehingga hujung bulan Mac ekoran fasa peralihan monsun yang melanda negara.
Katanya, beberapa daerah juga diramalkan mencatatkan suhu melebihi 37 darjah Celsius sekali gus meletakkan kawasan itu dalam status gelombang haba.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberitahu, sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas termasuk satu kematian membabitkan seorang kanak-kanak direkodkan tahun ini.
Katanya, suhu yang tinggi ketika ini memerlukan orang ramai lebih berhati-hati serta peka terhadap risiko kesihatan yang boleh berlaku akibat pendedahan berpanjangan kepada haba.
“Orang ramai perlu mengenali tanda-tanda awal masalah kesihatan berkaitan suhu panas seperti pening berterusan, rasa haus melampau dan peningkatan suhu badan. Cuaca panas melampau sekarang menuntut kita untuk lebih peka. Sila awasi tanda-tanda awal strok haba.
“Sekiranya ada tanda-tanda ini, amalkan langkah-langkah pencegahan segera dengan mencari tempat yang teduh, banyakkan minum air kosong dan sejukkan badan dengan segera,” katanya semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria pula menasihatkan orang ramai supaya untuk memilih waktu bersesuaian seperti pada waktu malam bagi menjalankan aktiviti luar rumah termasuk kunjung-mengunjung sempena Aidilfitri susulan cuaca panas yang melanda Kedah ketika ini.
Katanya, orang ramai juga perlu mengehadkan aktiviti di bawah terik matahari bagi mengurangkan masalah kesihatan apabila terdedah kepada suhu tinggi seperti strok haba.
“Cuaca atau suhu di Kedah lebih panas berbanding negeri lain kerana kita tidak menerima hujan dalam tempoh lebih sebulan. Jadi, saya nasihatkan orang ramai supaya memilih waktu malam untuk aktiviti luar termasuk kunjung-mengunjung Aidilfitri atau riadah.
“Saya bimbang pendedahan kepada suhu tinggi boleh menyebabkan strok haba. Orang ramai juga digalakkan minum air kosong dengan banyak bagi mengelakkan dehidrasi dan mengurangkan pengambilan minuman manis memandangkan ia boleh menyebabkan rasa lebih haus,” katanya ketika dihubungi Nexbyte semalam.
Sehubungan itu, MetMalaysia menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan mendapatkan status terkini melalui laman web rasmi di https://www.met.gov.my/ atau melalui aplikasi myCuaca. – UTUSAN






