KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melangkah ke fasa baharu melalui pelan hala tuju jangka panjangnya iaitu GEMPUR30 bagi memperkemas masa depan institusi itu.
Ketua Eksekutifnya, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, GEMPUR30 memperkasa semula misi LTAT dengan teras strategik yang lebih jelas untuk memastikan simpanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus berkembang secara mampan dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
Beliau berkata, LTAT di bawah pelan tersebut akan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti portfolio pelaburan seta memacu pertumbuhan syarikat-syarikat strategik dalam kumpulan melalui pemantauan yang lebih berfokus.
“LTAT melalui Boustead Holdings Berhad akan memberi penekanan khusus kepada dua sektor utama iaitu industri pertahanan selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dan juga pembangunan hartanah bersasarkan Kementerian Pertahanan (Mindef) sebagai pemegang taruh utama.
“Inisiatif ini bertujuan untuk memperteguh industri pertahanan yang berdaya tahan dan mampan demi kepentingan keselamatan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Ashraf berkata, LTAT akan turut memberi perhatian terhadap pembangunan perumahan yang selesa dan berkualiti bagi meningkatkan kesejahteraan warga tentera serta keluarga mereka.
Selain itu, katanya, sektor farmaseutikal turut dikenal pasti sebagai antara keutamaan LTAT dalam memastikan kelangsungan dan keselamatan bekalan ubat-ubatan negara.
“Prestasi Pharmaniaga Berhad kini menunjukkan pemulihan yang memberangsangkan dan berada di landasan yang kukuh untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) dalam masa terdekat,” katanya.
Tambahnya, LTAT akan memberikan tumpuan yang lebih strategik kepada kedua-dua syarikat utama tersebut sebagai langkah kehadapan kerana ia bukan sahaja berpotensi menjana nilai ekonomi kepadanya tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada pesara ATM.
“Aspirasi LTAT ini juga adalah selaras dengan pendekatan ‘Whole-of-Government-and-Whole-of Society’ (WOGOS) yang diterajui oleh Mindef dalam menggalakkan kerjasama merentasi institusi bagi menyokong pembangunan dan keselamatan negara.
“Melalui pendekatan ini, LTAT komited untuk terus menyokong pengukuhan ekosistem pertahanan negara agar anggota ATM dapat melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan negara dengan penuh keyakinan dan ketenangan fikiran, sekali gus memastikan rakyat menikmati keamanan dan negara kekal selamat serta stabil,” katanya. – UTUSAN






