HAT YAI (THAILAND): Gara-gara si wanita sudah bunting sebelum menjadi pasangan suami isteri yang sah, rata-rata pasangan dari Malaysia yang bernikah di Wilayah Songkhla di sini, cuba memujuk jurunikah untuk mengubah tarikh nikah mereka.
Itu situasi yang kerap dihadapi oleh seramai 30 jurunikah bertauliah di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla (MAIWS).
Terdapat juga beberapa individu bergelar orang kenamaan yang terlibat meminta tarikh pernikahan dalam sijil nikah diundurkan beberapa bulan kerana terlanjur dengan pasangan sehingga hamil.
Timbalan Yang Dipertua MAIWS, Ismail Awang berkata, manipulasi itu bertujuan menjadikan bayi yang bakal dilahirkan itu diiktiraf nasabnya daripada segi undang-undang.
Katanya, kesemua jurunikah bertauliah tegas dengan pendirian dan peraturan untuk tidak melayan permintaan mengundurkan tarikh pernikahan.
“Semua 30 jurunikah bertauliah MAIWS tidak akan bersetuju dengan permintaan seperti itu walaupun ditawarkan ribuan ringgit. Selain itu, pasangan biasa dari Malaysia yang datang untuk bernikah di Pejabat MAIWS, ada yang telah hamil lebih tiga bulan,” katanya kepada Nexbyte.
Ismail berkata, tarikh pernikahan tidak boleh diundurkan kerana pasangan telah hamil dan anak yang bakal lahir itu tidak boleh dinasabkan kepada pasangan lelaki serta tiada hak terhadap harta pusaka.
“Mereka telah melakukan perbuatan dosa, kalau kita benarkan tarikh nikah itu diundurkan kita juga berdosa kerana anak yang bakal lahir itu mengikut hukum tidak boleh berbin atau binti lelaki berkenaan,” ujarnya.
Menurutnya, pihaknya tidak bertanggungjawab jika ada pasangan bernikah menggunakan jurunikah tidak bertauliah dan mengundurkan tarikh pernikahan.
Katanya, sijil nikah yang dikeluarkan sindiket tidak diiktiraf oleh MAIWS atau Konsulat Malaysia di Songkhla.
“Sijil nikah MAIWS mempunyai nombor pendaftaran dan ciri-ciri keselamatan tertentu. Rakyat Malaysia yang kami nikahkan perlu mendaftar dengan Konsulat Malaysia di Songkhla.
“Sekiranya pihak konsulat meragui sijil nikah berkenaan, mereka merujuk kepada kami untuk pengesahan. Kami ada cara untuk meneliti dan mengesahkan sama ada sijil nikah itu sah atau palsu,” katanya. – UTUSAN





