SEREMBAN: Perselisihan faham antara dua individu di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan dekat Nilai, yang tular di media sosial semalam, selesai secara baik selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk berdamai.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, kedua-dua pihak telah mengadakan pertemuan dan perbincangan secara persendirian atas kehendak sendiri tanpa penglibatan atau campur tangan pihak polis.
Menurutnya, hasil perbincangan itu, kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perselisihan berkenaan secara baik dan tidak memanjangkan perkara tersebut.
“Walaupun kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan secara baik, perkara tersebut tidak menjejaskan proses siasatan polis.
“Siasatan akan diteruskan dan dilengkapkan berdasarkan keterangan serta bukti yang diperoleh untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua individu terbabit turut bersetuju membuat siaran media bersama bagi menjelaskan penyelesaian yang dicapai susulan rakaman kejadian yang tular di media sosial.
Katanya, kedua-dua individu berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis dan masing-masing dijamin oleh seorang penjamin.
Sebelum ini, tular di media sosial video memaparkan sebuah kenderaan mewah dan kenderaan utiliti sukan (SUV) berhenti di lorong paling kanan lebuh raya berkenaan.
Rakaman itu turut menunjukkan dua individu yang dipercayai pemandu kedua-dua kenderaan terbabit bergelut dan bertumbuk sebelum salah seorang daripadanya terjatuh.
Johari berkata, kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham berkaitan pemanduan antara kedua-dua pemandu berusia 30-an.-UTUSAN.




