PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bukan ukuran langsung taraf hidup rakyat, menurut pakar ekonomi.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, KDNK ialah ukuran nilai aktiviti ekonomi, namun bukan ukuran langsung taraf hidup rakyat Malaysia.
Katanya, pertumbuhan KDNK sebanyak 6.0 peratus adalah sesuatu yang positif namun persoalan lebih penting adalah berapa banyak pekerjaan berkualiti diwujudkan, peningkatan gaji dan sama ada pendapatan isi rumah berkembang lebih pantas daripada kos kehidupan.
“Sebagai contoh, jika gaji seseorang meningkat empat peratus tetapi harga barang keperluan, sewa rumah, pengangkutan, pendidikan dan komitmen hutang meningkat lebih cepat, kuasa beli sebenar individu itu tidak semestinya bertambah.
“Begitu juga, pertumbuhan sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor, pusat data dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh meningkatkan KDNK dengan ketara, tetapi manfaatnya tidak semestinya diagihkan secara sama rata kepada semua kumpulan pendapatan.
“Sebab itu, kita perlu melihat ‘kualiti pertumbuhan’, bukan hanya ‘kadar pertumbuhan’,” katanya kepada Nexbyte mengulas prestasi luar jangka KDNK sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026.
Beliau berkata, dalam konteks ini, keadaan pasaran buruh agak meyakinkan kerana pengangguran rendah dan upah sektor swasta terus meningkat.
Namun, katanya, inflasi 1.9 peratus dan kenaikan kos tertentu, khususnya bahan api, menunjukkan tekanan kos masih dirasai.
“Kesimpulannya, KDNK 6.0 peratus menunjukkan Malaysia sedang berkembang dengan kukuh, tetapi tugas seterusnya ialah memastikan pertumbuhan itu lebih inklusif dan diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan sebenar serta kuasa beli rakyat.
“Ukuran sebenar kejayaan ekonomi bukan sekadar Malaysia berkembang 6.0 peratus, tetapi sama ada majoriti rakyat merasakan kehidupan mereka menjadi lebih selesa, pendapatan lebih terjamin dan masa depan lebih terjamin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pertumbuhan ekonomi negara terus berada dalam keadaan yang baik meskipun berhadapan ketidakpastian ekonomi global.
Katanya, prestasi itu banyak didorong oleh lonjakan pertumbuhan eksport bersih sebanyak 168.5 peratus pada suku kedua.
“Sektor utama yang menerajui kenaikan pertumbuhan eksport yang tinggi adalah industri berkaitan Elektrik dan Elektronik (E&E) iaitu sebanyak 57.4 peratus dan mewakili 48.6 peratus daripada jumlah eksport dalam tempoh tersebut.
“Di samping itu, produk-produk seperti petroleum, LNG serta produk perkilangan berasaskan kelapa sawit dan mesin; peralatan dan alat ganti juga mencatatkan suatu pertumbuhan yang tinggi iaitu 67.3 peratus, 55.2 peratus, 18.3 peratus dan 20.2 peratus,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd. Afzanizam berkata, kenaikan kos sara hidup dijangka akan terus menjadi faktor utama yang akan mencorak polar perbelanjaan rakyat Malaysia.
Katanya, pertumbuhan kadar upah benar iaitu upah pekerja yang telah diselaraskan dengan faktor harga barang dan perkhidmatan mencatatatkan pertumbuhan yang perlahan iaitu 2.2 peratus pada suku kedua berbanding 2.4 peratus pada suku pertama tahun ini. – UTUSAN






