PUTRAJAYA: Prestasi luar jangka keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua tahun 2026 (S2 2026) membuktikan reformasi kerajaan di bawah kerangka Ekonomi Madani telah membantu mengurangkan kesan gangguan bekalan global terhadap rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkat, krisis Asia Barat menggugat rantaian bekalan dan ekonomi dunia, namun kerajaan telah mengambil langkah serta-merta untuk melindungi rakyat dan perniagaan.
Kata beliau, antaranya ialah menyediakan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas serta mengekalkan subsidi bahan api secara bersasar agar rakyat dan perniagaan terlindung daripada tempias kejutan ekonomi dari luar.
“Ikhtiar ini membantu mengekalkan perbelanjaan isi rumah, merancakkan kegiatan perniagaan serta mempertahankan momentum pertumbuhan pada S2 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malaysia terus mencatat prestasi luar jangka bagi tiga suku berturut-turut dan berkembang sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua tahun 2026 (S2 2026) berbanding 5.4 peratus direkodkan pada suku sebelumnya, meskipun mendepani kejutan bekalan global yang telah menjejaskan ekonomi dunia.
Permintaan domestik yang berdaya tahan dan sektor luar negeri yang rancak memacu pertumbuhan KDNK untuk melepasi anggaran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran median Bloomberg sebanyak 5.8 peratus.
Prestasi ini merupakan yang paling kukuh bagi suku kedua di luar tempoh pandemik sejak 2014.
Pencapaian S2 2026 telah menjadikan pertumbuhan separuh pertama tahun 2026 sebanyak 5.7 peratus, sekali gus meletakkan ekonomi Malaysia pada landasan yang kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan oleh kerajaan iaitu antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi tahun 2026.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penggunaan swasta berkembang sebanyak 4.8 peratus didorong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi bagi restoran dan hotel, pengangkutan serta makanan dan minuman berikutan sambutan perayaan, cuti sekolah pertengahan tahun dan aktiviti berkaitan pelancongan yang berterusan.
Katanya, pelaburan swasta dan awam juga kekal berkembang disokong oleh pelaburan berterusan dalam sektor teknologi dan pelaksanaan infrastruktur utama di seluruh negara.
“Kendatipun gangguan rantaian bekalan telah meningkatkan tekanan harga di seluruh dunia, inflasi Malaysia kekal terkawal pada 1.9 peratus pada S2 2026.
“Pada masa sama, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta subsidi bersasar menerusi Budi Madani terus disalurkan bagi mengurangkan beban rakyat, khususnya golongan yang paling terkesan dek kenaikan kos sara hidup,” katanya.
Menurut Anwar, pasaran buruh Malaysia kekal menyokong permintaan domestik sepanjang suku tersebut dengan guna tenaga meningkat sebanyak 1.1 peratus kepada 16.8 juta orang manakala kadar pengangguran direkodkan sebanyak 3.0 peratus.
Katanya, sektor luar negeri turut merekodkan prestasi kukuh disokong oleh permintaan yang tinggi bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk petroleum.
Selain itu, jumlah dagangan meningkat sebanyak 34.1 peratus kepada RM1 trilion pada suku tersebut manakala lebihan dagangan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM84 bilion.
“Seiring dengan perkembangan tersebut, aktiviti perindustrian turut mengukuh dengan Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat sebanyak 7.7 peratus pada suku kedua disokong oleh pertumbuhan pengeluaran yang lebih tinggi dalam sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik.
“Meneruskan agenda reformasi demi memperkukuh pertumbuhan mampan walaupun momentum pertumbuhan Malaysia kekal berdaya tahan, namun Kerajaan Madani sentiasa menyedari bahawa limpahan manfaat daripada pertumbuhan ekonomi ini tidak dirasai secara sama rata oleh semua isi rumah dan perniagaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sungguhpun negara menyambut baik angka pertumbuhan yang memberangsangkan, kita tidak boleh alpa bahawasanya masih ramai rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup, manakala sebahagian pekerja dan perniagaan berdepan keadaan yang sukar.
“Hatta, Kerajaan Madani bukan sekadar mengejar angka pertumbuhan yang tinggi. Kekayaan dan kemajuan negara mesti dimanfaatkan untuk mengangkat harkat rakyat melalui pendapatan yang lebih bermakna, peluang pekerjaan yang bermutu serta bantuan kepada golongan rentan.
“Inilah ikhtiar yang akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan Madani,” tambah beliau. – UTUSAN






