KLANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjangkakan berlaku perubahan perikanan dan hasil pertanian yang dipengaruhi oleh fenomena El-Nino.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu antara dibincangkan beliau dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semalam bagi diketengahkan dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentang pada Oktober ini.
“Jadi, semalam Kementerian Kewangan bersedia menyediakan keperluan-keperluan mendadak yang datang akibat daripada perubahan-perubahan itu, termasuklah dalam bidang perikanan dan ternakan.
“El-Nino boleh menyebabkan laut kita terlalu panas (dan) akan menjejaskan tangkapan ikan dan sebagainya.
“Maka, bank diminta menyediakan kemudahan-kemudahan kalau perlu bantuan-bantuan tambahan sebab El-Nino dijangka mula pada bulan September dan paling berat akan berlaku tahun depan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Cawangan Agrobank Bandar Botanik, di sini, hari ini.
Jelasnya, selain perubahan tersebut, isu keterjaminan makanan turut berdepan konflik geopolitik yang tidak menentu menyebabkan risiko terhadap hal-hal berkaitan bekalan keperluan asas itu.
Malah, beliau memaklumkan Agrobank bersedia memberi sokongan kepada mereka yang mahu terlibat dalam pertanian, perikanan dan sebagainya termasuk tanaman jagung bijian sebagai sumber makanan ternakan.
“Seperti yang kita kata dalam bidang perikanan, ternakan. Terutama sekali ternakan, kita masih lagi berada di tahap (keperluan sara diri) daging kita di peringkat 20 peratus. Yang lain itu kita import.
“Jadi, bank (Agrobank) juga bersedia memberi sokongan daripada mereka yang hendak terlibat dalam penternakan, ikan dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN






