PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memperbaiki kelemahan komunikasi yang dilihat gagal menyampaikan maklumat mengenai dasar kerajaan kepada rakyat, sekali gus mencetuskan salah faham dan menjejaskan sokongan terhadap parti itu dalam beberapa siri pilihan raya.
Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, kepemimpinan parti perlu mengakui kelemahan yang wujud, mengenal pasti punca masalah dan mengambil langkah penyelesaian bagi memastikan PKR tidak terus terjejas.
Menurut beliau, komunikasi dengan rakyat juga perlu diperkukuh menerusi penjelasan mengenai dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan serta manfaatnya supaya rakyat lebih memahami perkara tersebut.
“Banyak keluhan di bawah itu ialah dasar kerajaan termasuk yang baik pun tidak sampai ke akar umbi, ramai tidak tidak memahami apa dasar yang dijalankan dan banyak juga yang merasakan tidak dapat manfaat dengan serta-merta.
“Tetapi sekiranya diterangkan dengan betul, rakyat boleh terima. Cuma adakala saya rasa wakil rakyat dan anggota parti mereka kurang sampaikan ini atau mereka sendiri pun tidak faham,” katanya kepada Nexbyte.
Media melaporkan, kekuatan akar umbi PKR ketika ini masih belum cukup kukuh untuk diterjemahkan kepada kemenangan dalam pilihan raya, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Johor dan Negeri Sembilan yang menjadi isyarat jelas daripada rakyat terhadap prestasi serta pendekatan politik parti.
Menurutnya, pilihan raya bukan sekadar medan merebut kemenangan, sebaliknya menjadi ukuran sejauh mana sokongan rakyat terhadap perjuangan PKR dan keberkesanan pendekatan yang digunakan.
Dalam pada itu, Tian Chua berkata, PKR juga perlu memperbaiki ‘akses’ rakyat kepada kepimpinan yang disifatkannya tidak seperti dahulu.
“Mungkin semasa mereka jadi pemerintah, banyak terikat dalam urusan-urusan birokrasi dan tidak seperti dulu, mereka erat dengan akar umbi bersama dengan rakyat.
“Ini yang menyebabkan setengah-setengah lapisan masyarakat rasa kecewa kerana mereka tidak dapat akses kepada kepimpinan, jadi ini harus diperbaiki,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Batu itu turut menyangkal tanggapan bahawa PKR sudah jauh daripada perjuangan reformasi yang menjadi tunjang asas penubuhan parti berkenaan.
“Ini adalah satu perjalanan perjuangan yang sangat panjang. Termasuk UMNO, kalau kita nak ukur prestasinya, kenapa sampai hari ini UMNO masih kata sasaran mereka tidak tercapai lagi? Melayu belum lagi saksama dengan kaum lain.
“Bolehkah kita ukur kata, ‘Eh, UMNO tidak relevan lagi’ atau ‘UMNO itu gagal’? Saya tidak mahu kata seperti itu, saya rasa perjuangan itu harus berjalan panjang.
“Apa yang telah diimpikan oleh PKR semasa pengasasnya adalah satu masyarakat yang makmur, yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dan juga semua kaum. Itu tidak akan hilang dan yang penting bagaimana pelaksanaan yang berkesan dapat direalisasikan,” katanya. – UTUSAN






