YALA (THAILAND): Wilayah Selatan Thai terus bergolak apabila sebuah sebuah balai polis di sini, diserang sekumpulan lelaki yang menyaksikan insiden berbalas tembakan selama 10 minit, semalam.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku dalam insiden pukul 7.57 pagi itu.
Komander Pasukan Petugas Polis Yala 91, Kolonel Pornchai Kueameng berkata, siasatan awal mendapati, sekumpulan penyerang yang tidak dikenali melepaskan tembakan rambang ke arah belakang balai polis berkenaan, sebelum lebih 10 anggota polis bertindak balas.
“Pertempuran berlaku beberapa minit sebelum kumpulan bersenjata itu melarikan diri ke kawasan ladang getah dan hutan tebal berdekatan.
“Pasukan keselamatan kini melancarkan gerakan memburu kumpulan penyerang selain mengepung tempat kejadian bagi mencari bukti,” katanya ketika dihubungi.
Pornchai berkata, Pasukan Petugas Khas Yala kini meletakkan seluruh wilayah itu pada tahap keselamatan tertinggi susulan serangan berkenaan.
Sementara itu, sebutir bom dilempar ke dalam sebuah kuil di Mukim Ban Klang Daerah Panare, Pattani dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi semalam.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, penyerang melontar ‘bom pingpong’ yang dibalut pita elektrik ke dalam Wat Thep Nimit, dipercayai untuk mencetuskan kekacauan di kawasan tersebut.
“Pihak berkuasa mengepung kawasan tersebut dan bekerjasama dengan unit Pelupusan Peralatan Letupan (EOD) untuk memeriksa dan meneruskan prosedur keselamatan,” ujarnya. – UTUSAN






