Larangan atau sekatan perjalanan malam kepada pengunjung luar atau warga tempatan adalah langkah keselamatan standard di Selatan Thailand. Ia adalah matlamat keselamatan yang bertujuan untuk menyukarkan pergerakan militan dan mengurangkan risiko serangan pada waktu malam ketika pengawasan lebih sukar.
Namun, kesan terhadap kehidupan awam adalah kompleks. Walaupun sesetengah penduduk merasa lebih selamat, sekatan ini mengganggu ekonomi tempatan, menyukarkan mereka yang bekerja pada malam hari, menghalang akses kepada rawatan perubatan kecemasan, dan menimbulkan rasa terkepung. Keadaan ini berpotensi meningkatkan sentimen kemarahan dan memburukkan lagi konflik.
Konflik di wilayah Selatan Thailand, khususnya di Patani, Yala, Narathiwat, dan sebahagian Songkhla, merupakan isu keselamatan dan kemanusiaan yang berlarutan. Lebih daripada sekadar pertikaian antara kerajaan Thailand dan pejuang separatis, konflik ini berakar umbi daripada faktor sejarah, identiti, dan tuntutan politik yang kompleks.
Situasi ini memerlukan penyelesaian holistik yang mengambil kira dinamika semasa konflik, dengan fokus khusus kepada kerjasama unik antara penguat kuasa Thailand dan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, serta pengurusan strategik terhadap pihak Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Situasi prasangka di antara pihak kerajaan dan BRN mempunyai dimensi yang menjangkaui naratif insurgensi semata-mata. Dari perspektif sejarah, wilayah ini pernah menjadi Kesultanan Patani yang merdeka sebelum ditakluki oleh Siam.
Rasa kekalahan sejarah ini disuburkan lagi oleh pengalaman diskriminasi dan pengabaian yang dirasai oleh masyarakat Melayu-Muslim. Identiti keagamaan dan kebudayaan mereka yang berbeza dengan majoriti amalan di Thailand sering tidak diiktiraf sepenuhnya akhirnya menimbulkan rasa tidak puas hati yang mendalam.
Daripada sudut politik, BRN dan kumpulan lain yang memperjuangkan autonomi atau kemerdekaan mendakwa berlakunya diskriminasi sistematik dan pengabaian pembangunan oleh kerajaan Bangkok.
Tuntutan ini disokong oleh naratif sejarah yang menekankan kemerdekaan masa lalu wilayah tersebut. Namun, dimensi konflik kemanusiaan sering terabai, di mana penduduk awam menjadi mangsa dalam serangan hendap, pengeboman, dan keganasan yang bukan sahaja mengakibatkan kecederaan dan kematian, tetapi juga menimbulkan ketakutan dan trauma yang mendalam dalam kalangan komuniti.
Pendekatan keselamatan tradisional yang hanya bergantung pada kekuatan tentera telah terbukti tidak mencukupi untuk menangani punca sebenar konflik.
Dalam konteks ini, kerjasama tiga penjuru yang melibatkan penguat kuasa undang-undang Thailand, NGO tempatan, dan BRN yang diurus secara strategik menawarkan perspektif baru yang lebih menjanjikan.
Hubungan antara penguat kuasa undang-undang Thailand dan BRN perlu wujud dalam bentuk dialog dan kerjasama keselamatan yang lebih berstruktur. Walaupun proses damai rasmi sering terhenti, saluran komunikasi tetap penting untuk memahami tuntutan masing-masing dan mencari titik persamaan.
Keterbukaan pihak tentera Thailand untuk berbincang perlu disambut baik oleh BRN bagi membenarkan proses perdamaian dan pembangunan dilaksanakan di wilayah tersebut.
Kerjasama antara penguat kuasa undang-undang Thailand dan NGO tempatan berfungsi sebagai jambatan kemanusiaan yang kritikal. NGO tempatan memainkan peranan penting dengan kredibiliti mereka dalam komuniti dan akses kepada maklumat di lapangan. Melalui pemantauan hak asasi manusia, mereka dapat mendokumentasikan insiden yang berlaku, mengurangkan tekanan dan mewujudkan kerjasama berasaskan prinsip kemanusiaan.
Peranan NGO sebagai penghubung antara BRN dan komuniti tempatan amat signifikan. NGO boleh menyampaikan penderitaan awam akibat keganasan kepada BRN, mendorong kumpulan tersebut mematuhi norma kemanusiaan dan mengurangkan serangan terhadap sasaran awam.
Perlindungan keselamatan kepada NGO perlu diperkukuh bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tugas secara efektif tanpa ancaman daripada mana-mana pihak.
Penyelesaian mampan di Selatan Thailand memerlukan lebih daripada sekadar kemenangan ketenteraan. Ia memerlukan penyelesaian politik yang mengiktiraf identiti unik wilayah tersebut dan menangani punca sebenar konflik.
Media dan platform komunikasi tempatan perlu memainkan peranan konstruktif dengan menyampaikan maklumat yang tepat dan menggalakkan pemahaman antara komuniti.
Kerjasama unik antara penguat kuasa undang-undang, BRN, dan NGO, walaupun tidak sempurna, adalah asas yang mustahak untuk membina kepercayaan dan memahami realiti di lapangan.
Mewujudkan ruang selamat untuk diakses oleh semua penduduk seperti pusat kebudayaan boleh mengubah arah penduduk Selatan Thailand daripada tindakan agresif kepada geopolitik damai. Ia memberikan peluang pendidikan, ekonomi setempat, integrasi dan asimilasi serta sempadan kemanusiaan yang menekankan aspek kedamaian dan pembangunan.
Perjalanan menuju keamanan di Selatan Thailand masih panjang, namun elemen kerjasama yang wujud ini memberikan harapan dalam naratif konflik yang berpanjangan.
Dengan komitmen berterusan daripada semua pihak, serta pendekatan yang seimbang antara aspek keselamatan dan kemanusiaan, penyelesaian mampan yang menghormati hak dan martabat semua pihak mungkin boleh dicapai.
Transformasi konflik memerlukan kesabaran, pemahaman mendalam, dan kesediaan semua pihak untuk berkompromi demi masa depan lebih aman untuk wilayah Selatan Thailand.
Dr. Mohd. Ramlan Mohd. Arshad Ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban.






