PETALING JAYA: AirAsia mengumumkan penyambungan semula penerbangan ke Bhubaneswar di ibu negeri Odisha, India menerusi tiga penerbangan mingguan bermula pada 28 Mei depan.
Pengumuman tersebut dilihat tepat pada masanya berikutan syarikat penerbangan tersebut meningkatkan laluan udara antara Malaysia dan India sebanyak 13 laluan secara keseluruhan sejak 2008.
Penerbangan antara Kuala Lumpur dan Bhubaneswar bagi menambah rangkaian laluan unik AirAsia ke India selepas Jaipur dan Visakhapatnam yang menjadikan AirAsia sebagai satu-satunya syarikat penerbangan di Malaysia ke bandar-bandar ini.
Rangkaian kukuh AirAsia telah membolehkan lebih lima juta pengembara terbang antara India dan Malaysia dalam tempoh enam tahun lalu dan jumlah akan terus meningkat selepas pengumuman kerajaan mengenai kemasukan tanpa visa untuk warganegara India ke Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, pihaknya berbangga untuk meneruskan momentum dalam meningkatkan perjalanan ke India merupakan pasaran penting dan popular oleh pengembara.
“AirAsia terus komited untuk menerokai lebih banyak laluan unik antara kedua-dua buah negara ini dan memperluas rangkaian destinasi supaya lebih ramai tetamu dapat melawat destinasi impian mereka dengan tambang berpatutan.
“Bhubaneswar merupakan sebuah bandar yang memiliki tarikan menarik dan terkenal dengan sejarah, warisan dan seni bina unik.
“Justeru, kami berbesar hati untuk menyambung semula laluan yang dinantikan ini,” katanya dalam kenyataan.
Bhubaneswar juga dikenali sebagai ‘Bandar Kuil India’ mempunyai lebih daripada 600 kuil batu pasir di seluruh bandar dibina pada abad ketujuh.
Bandar ini tidak hanya dihiasi dengan tapak sejarah unik malah seni bina dan monumen yang menarik selain kepelbagaian budaya.
Bandar ini juga merupakan pusat yang berkembang pesat untuk perdagangan dan perniagaan seterusnya menjadikan destinasi popular untuk pengembara khususnya dalam sektor perniagaan dan rekreasi di samping melihat keindahan landskap yang ditawarkan.
Bagi meraikan penyambungan semula penerbangan ke Bhubaneswar, AirAsia menawarkan tambang promosi mulai hari ini hingga 17 Mac 2024 dengan tambang bermula RM199 sehala dan hanya INR4,999 dari Bhubaneswar ke Kuala Lumpur untuk tempoh perjalanan antara 28 Mei 2024 dan 18 Jun 2025.
Tambang promosi ini boleh ditempah di airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE, yang sebelum ini dikenali sebagai ‘airasia Superapp’.
AirAsia kini terbang terus dari Kuala Lumpur ke 13 bandar di seluruh India dengan 78 penerbangan mingguan ke Trivandrum, Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru, Kolkata, Bhubaneswar (bermula 28 Mei 2024), Jaipur (bermula 21 April 2024), Visakhapatnam (bermula 26 April 2024), dan Ahmedabad (bermula 1 Mei 2024).
AirAsia X Malaysia (kod penerbangan D7) juga mengendalikan dua laluan terus dari Kuala Lumpur ke New Delhi dan Amritsar dengan lapan penerbangan mingguan. – UTUSAN






