KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan menguatkuasakan Akta Syarikat (Pindaan) 2024 pada 1 April ini bagi memperkukuh kerangka rehabilitasi korporat dengan memudah cara syarikat yang menghadapi masalah kewangan.
Bagaimanapun, pindaan ini tidak melibatkan Seksyen 4, 14, 26 dan 28 yang diumumkan pada satu tarikh kelak.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, akta tersebut bagi menambah baik peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016.
Katanya, peruntukan perundangan baharu itu mewajibkan setiap syarikat mengenal pasti pemunya benefisial iaitu individu yang mengawal syarikat tersebut.
Melalui peruntukan baharu yang diperkenalkan syarikat wajib melaporkan individu yang memenuhi kriteria pemunya benefisial ini kepada SSM.
“Akta Syarikat (Pindaan) 2024 ini juga bagi menyokong pemulihan ekonomi negara agar terus berdaya saing terutama sekali dalam era pasca-pandemik Covid-19.
“Selain itu, akta ini dapat mempertingkatkan elemen ketelusan dalam ekosistem sektor korporat di Malaysia melalui penambahbaikan pelaporan pemunyaan benefisial,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan SSM Customer Care di sini semalam.
Rang Undang-Undang (RUU) Syarikat (Pindaan) 2023 telah diluluskan di peringkat Dewan Rakyat pada 28 November 2023 dan diluluskan di peringkat Dewan Negara pada 13 Disember 2023.
RUU ini telah mendapat Perkenan Diraja pada 24 Januari lalu dan diwartakan sebagai Akta Syarikat (Pindaan) 2024.
Akta Syarikat 2024 mengandungi 31 fasal daripada empat kluster polisi memperluaskan pemakaian mekanisme penyelamat korporat iaitu perkiraan sukarela korporat (CVA) dan pengurusan kehakiman (JM).
Ini termasuk memperkukuhkan kerangka rehabilitasi korporat melalui penambahbaikan peruntukan yang berkaitan skim perkiraan atau kompromi (SPK) dan penambahbaikan peruntukan-peruntukan CVA/JM, menambahbaik amalan dan tadbir urus korporat dan memperkukuh kerangka pelaporan pemunyaan benefisial.
Dalam majlis itu, beliau turut melancarkan pusat panggilan SSM yang berwajah baharu dikenali SSM Customer Care (SSMCC).
“Penjenamaan semula ini SSMC selari dengan teras strategik SSM iaitu mengoptimumkan penambahbaikan proses, memupuk budaya cemerlang dan menyediakan persekitaran perniagaan yang dipercayai.
“Antara penambahbaikan yang dilaksanakan melalui SSMCC adalah menggantikan borang pertanyaan dan aduan sedia ada kepada platform terbaharu yang dikenali sebagai Webform, memperkenalkan SSM Chatbot yang boleh diakses oleh pelanggan 24 jam serta platform Live Chat SSM,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Armizan berkata, setakat data yang dikemas kini pada 24 Februari lalu, sebanyak 1.5 juta syarikat telah berdaftar dengan SSM dan daripada jumlah tersebut lebih 600,000 syarikat aktif. – UTUSAN






