KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pendaftaran & Perkhidmatan Perniagaan) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima wang berjumlah RM50,000 daripada anak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, lapan tahun lalu.
Tertuduh, Khuzairi Yahaya, 55, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, penjawat awam itu telah menerima untuk dirinya sendiri RM50,000 tanpa sebarang balasan daripada Muhammad Faisal Hamzah yang mempunyai hubungan dengan urusan rasminya di Ibu Pejabat SSM @ Sentral, di sini pada Mei 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, Muhammad Aizat Fakri.
Terdahulu, Mohd. Fadhly mencadangkan jaminan RM15,000 berserta syarat-syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah sehingga kes perbicaraan selesai dan melapor diri setiap bulan di ibu pejabat SPRM terdekat.
Muhammad Aizat bersetuju dan tidak membantah jumlah jaminan yang dicadangkan serta syarat-syarat tambahan yang dikemukakan.
Mahkamah kemudian membenarkan Khuzairi dijamin RM15,000 dengan syarat-syarat tambahan tersebut. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 April ini. – UTUSAN






