SUBANG JAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan menyalurkan peruntukan pembiayaan perniagaan sebanyak RM300 juta kepada kira-kira 450 usahawan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, ia melibatkan peruntukan pembiayaan daripada kerajaan sebanyak RM200 juta dan RM100 juta daripada dana dalaman.
“Sehingga 31 Mac ini, sebanyak RM35 juta sudah disalurkan kepada sekitar 50 syarikat.
“Pembiayaan berkenaan tertakluk kepada mandat dengan menumpukan kepada industri peruncitan dan pemborongan,” katanya kepada pemberita dalam Program Kongsi Rezeki Ramadan 2024 PUNB di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusinya, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Menurutnya, untuk tahun lalu, pihaknya sudah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM325 juta membabitkan RM300 juta dana peruntukan kerajaan termasuk RM100 juta dana Madani dan RM25 juta pula daripada dana PUNB kepada 417 syarikat.
Beliau menambah, pada tahun ini, pihaknya turut memperkenalkan satu skim baharu iaitu Pembiayaan Islam untuk Projek dan Kontrak (PROSPER Impact).
“Skim ini membantu usahawan bumiputera yang menerima kontrak daripada kerajaan, agensi berkanun, syarikat multinasional (MNC) serta syarikat milik kerajaan (GLC) dalam aliran tunai untuk mereka menjalankan dan melaksanakan projek yang dijalankan.
“Permohonan skim baharu ini dijalankan secara dalam talian dan kita menerima sambutan yang menggalakkan,” katanya.
Dalam program tersebut, seramai 35 anak-anak berusia tujuh hingga 17 tahun dari Pertubuhan Rahoma Darul Fakir diraikan dengan dibawa membeli persalinan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri serta keperluan harian.
Acryl Sani berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini selaras dengan agenda PUNB dalam menyokong ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terutama dalam bidang ekonomi, sosial dan alam sekitar.
“Program ini adalah kesinambungan daripada program CSR PUNB yang dianjurkan setiap tahun dengan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan.
“Diharap sumbangan PUNB ini memberi manfaat kepada penerima kerana sesungguhnya mereka sentiasa dihargai dan tidak pernah dipinggirkan,” katanya. – UTUSAN






