WASHINGTON: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent pada Khamis mengancam untuk mengenakan pengasingan ekonomi terhadap Iran seperti yang belum pernah disaksikan dunia sebelum ini.
Beliau menambah bahawa langkah-langkah baharu dijangka diumumkan minggu depan.
“Ia akan melibatkan gabungan pengasingan ekonomi, seperti yang belum pernah disaksikan dunia sebelum ini,” kata Bessent kepada rangkaian televisyen konservatif Newsmax.
Katanya, sekatan berterusan di Selat Hormuz akan menghalang apa sahaja yang masuk atau keluar dari pelabuhan Iran.
“Nantikan pengumuman selanjutnya minggu depan,” katanya.
Bessent menggambarkan pendekatan dua serampang yang melibatkan tekanan kewangan dan sekatan fizikal terhadap pelabuhan.
Naib Presiden JD Vance sebelum ini berkata, keutamaan utama AS dalam perang dengan Iran adalah menurunkan harga minyak dan petrol untuk rakyat Amerika, manakala menghalang Teheran daripada memperoleh senjata nuklear kini menjadi keutamaan kedua.
Pendirian lebih tegas itu berbeza dengan kenyataan Bessent pada 4 Ogos lalu, ketika beliau memberitahu CNBC bahawa persetujuan dengan Teheran untuk membuka semula Selat Hormuz boleh dicapai dalam tempoh beberapa hari.
Kenyataan tersebut menyebabkan pasaran saham Wall Street meningkat manakala harga minyak menurun. – AFP






