PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd., Tan Sri Tony Fernandes menandatangani kontrak perkhidmatan baharu untuk lima tahun akan datang.
Ini membolehkan beliau meneruskan peranan pentingnya di Capital A, dengan fokus terhadap memacu pertumbuhan masa depan dan pulangan kewangan kumpulan.
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Capital A, Datuk Fam Lee Ee berkata, Tony menunjukkan kebolehan yang tiada tandingannya untuk mengubah Capital A dalam memacu pertumbuhan dan memberikan pulangan kewangan, menjadikan beliau memiliki reputasi sebagai salah seorang CEO yang cemerlang di dalam industri ini.
“Beliau telah menetapkan Capital A pada laluan strategik yang betul bagi penciptaan nilai yang berterusan dan Lembaga Pengarah memutuskan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya demi kepentingan terbaik pemegang saham.
“Kami yakin, di bawah bimbingan beliau, kami akan mencapai pencapaian yang lebih besar pada tahun-tahun mendatang,” katanya dalam kenyataan.
Lembaga Pengarah Capital A meluluskan satu pakej insentif untuk Tony, yang direka untuk menyelaraskan kepentingan CEO dengan kepentingan pemegang saham serta memastikan komitmen bersama untuk memacu kejayaan jangka panjang dan kemapanan Capital A.
Peranan beliau merangkumi mengemudi Capital A ke arah membuka kunci nilai pemegang saham yang dipertingkatkan melalui pelaksanaan urus niaga yang menguntungkan merentas entiti Capital A.
Sementara itu, Tony berkata, beliau sudah bersedia untuk memberikan nilai yang luar biasa kepada para pemegang saham berikutan pelupusan perniagaan penerbangannya.
“Dalam tempoh dua tahun akan datang, pelabur dan pemegang saham akan menyaksikan kebangkitan empat tonggak perniagaan kukuh, yang lahir daripada Kumpulan AirAsia.
“Kesemua perniagaan ini menggembirakan saya, masing-masing bersedia untuk menjadi entiti bebas dengan struktur modalnya yang teguh.
“Sepanjang lima tahun akan datang, saya membayangkan Teleport, MOVE Digital, Capital A Aviation Services Group (CAPAS), dan Capital A International berkembang menjadi syarikat awam tersenarai berasingan yang berkongsi DNA asas AirAsia bercirikan kos rendah, kecekapan tinggi, dan komitmen tanpa henti untuk berdikari serta pengganggu pasaran yang berdaya tahan,” ujarnya. – UTUSAN






