KEBERANIAN menerokai industri pembuatan kek dan pastri premium yang kebiasaannya didominasi oleh golongan wanita menjadi titik tolak kepada kejayaan jenama tempatan, The Layers, yang kini berkembang menjadi antara kafe kegemaran warga tempatan.
Diasaskan oleh Ahmad Faris Ramli, 31, perniagaan yang berada di bawah naungan The Layers Sdn. Bhd. itu memulakan operasinya sebagai perniagaan dari rumah (home-baker) pada tahun 2016 sebelum berjaya membina kilang bakeri sendiri serta tiga buah cawangan kafe fizikal hari ini.
Graduan Seni Kulinari yang turut memegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Bharu itu berkata, pendorong utama untuk membuka kafe fizikal pertama pada 2021 adalah kepercayaan pelanggan terhadap kualiti produknya.
“Selepas beberapa tahun menghasilkan kek dari rumah, saya melihat kepercayaan pelanggan semakin meningkat. Ramai yang tertarik kerana tidak ramai usahawan lelaki tempatan menceburi bidang kek dan pastri premium, sekali gus memberi keyakinan terhadap hasil kerja kami.
“Sebagai graduan Seni Kulinari, saya mahu membuktikan bahawa bidang ini mampu berkembang menjadi sebuah jenama dan kafe yang berjaya. Apabila permintaan semakin meningkat, saya menyedari pelanggan bukan sahaja mahukan kek dan pastri, malah ingin menikmatinya bersama kopi dalam suasana yang selesa,” katanya kepada Nexbyte.
Menyoroti perjalanan awalnya, Ahmad Faris membina reputasi secara bertahap bermula dengan membekalkan kek ke beberapa buah kafe di Kelantan pada 2019, selain aktif berkongsi ilmu serta perjalanan perniagaannya menerusi media sosial sehingga mengumpul ribuan pengikut setia.
Bagi memastikan konsistensi kualiti di setiap cawangan, pemilikan kilang bakeri sendiri membolehkan The Layers mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat daripada penyediaan resipi, kawalan mutu, sehinggalah kepada teknik pembakaran.
Mengulas mengenai cabaran, Ahmad Faris tidak menafikan pernah berdepan saat sukar apabila kafe pertamanya terpaksa berdepan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejurus dua bulan beroperasi, selain pernah melalui pengalaman penutupan kiosk serta peningkatan harga bahan mentah secara mendadak sewaktu mengendalikan kilang di Klang sebelum ini.
Namun, dugaan tersebut tidak menghalang The Layers untuk terus melangkah ke hadapan dengan melabur bagi mendapatkan pengiktirafan dan standard piawaian tertinggi.
“Antara keputusan paling besar yang kami buat ialah melabur untuk mendapatkan pensijilan halal bagi production house dan cawangan kafe kami. Jenama The Layers juga kini telah berdaftar sebagai tanda dagangan rasmi, selain memperoleh pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semua ini memerlukan pelaburan masa, tenaga dan kos yang besar, tetapi ia berjaya meningkatkan keyakinan pelanggan serta mengukuhkan kredibiliti The Layers sebagai jenama tempatan yang mementingkan kualiti dan keselamatan makanan,” jelasnya.
Dari segi strategi pemasaran, pihaknya menggunakan pendekatan kandungan kreatif melalui platform TikTok dan Instagram yang dekat dengan jiwa anak muda tanpa mengetepikan nilai jenama.
Menurutnya, kualiti hidangan sentiasa menjadi keutamaan di mana penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk sentiasa dijalankan secara berkala menerusi pemerhatian trend dalam dan luar negara.
Bagi perancangan masa hadapan, Ahmad Faris berhasrat untuk terus mengukuhkan operasi perniagaannya sambil membuka lebih banyak peluang kerjaya buat komuniti setempat.
Tambahnya, beliau berharap kejayaannya mampu menjadi sumber inspirasi kepada anak muda lain untuk berani menceburi dunia perniagaan.
“Kejayaaan sebenar bukan hanya tentang membuka lebih banyak cawangan, tetapi apabila pelanggan yang menyokong kita sejak zaman home-baker masih terus mempercayai jenama ini. Jangan pernah berkompromi dengan kualiti kerana kepercayaan pelanggan adalah aset paling berharga,” katanya. – UTUSAN





