ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) memperkukuh peranan sebagai peneraju pembangunan kepemimpinan mahasiswa dan jalinan antarabangsa menerusi penganjuran Building Residential Involvement, Dialogue, Growth and Empowerment (BRIDGE) Camp.
Program lima hari sehingga 30 Julai lalu itu dianjurkan Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK), Kompleks Perumahan UniCITI Alam di bawah majlis pengetua yang menghimpunkan 71 peserta dari tujuh Universiti Awam (UA).
Ia membabitkan peserta dari Unimap, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta penyertaan antarabangsa daripada Thaksin University, Thailand.
Majlis perasmian program disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimap, Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.
Mohd. Mustafa berkata, kepentingan pembentukan mahasiswa berdaya saing melalui kepimpinan, kesukarelaan dan jaringan strategik merentas institusi serta negara.
BRIDGE Camp merupakan program menggabungkan elemen kepimpinan, pengantarabangsaan dan khidmat Masyarakat.
Peserta terlibat bukan sahaja mengikuti modul pembangunan kepimpinan di kampus, malah mengaplikasikan pengetahuan tersebut secara langsung sebagai fasilitator kepada pelajar di lima buah sekolah menengah sekitar negeri ini.
“Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman memberi peluang kepada mahasiswa membimbing generasi muda, sekali gus menyemai nilai kepimpinan, komunikasi berkesan, kerja berpasukan dan keyakinan diri dalam kalangan pelajar sekolah sebagai persediaan melahirkan pemimpin masa hadapan.
“Memperkukuh agenda pengantarabangsaan, program ini turut diadakan di Thaksin University dan bersama komuniti di Songkhla, Thailand menerusi pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama masyarakat setempat di Kampung Kao Seng Beach, Songkhla,” katanya.
Pengarah program, Brendan Choo berkata, pengalaman rentas budaya itu membuka ruang kepadanya memahami kepelbagaian budaya, memperkukuh semangat kesukarelawanan dan mengeratkan hubungan pendidikan antara Malaysia dan Thailand.
Pengarah program bersama MPKK ini, melakukan persiapan seawal April bagi menjayakan misi BRIDGE 2026.
“Peserta turut mengikuti sesi dialog bersama tokoh yang memberi pendedahan mengenai aspek kepimpinan, pembangunan sahsiah serta pengalaman sebenar dalam membentuk jati diri sebagai pemimpin muda. Sesi tersebut sekali gus melengkapkan pembangunan holistik mahasiswa sepanjang program berkenaan berlangsung,” katanya. – UTUSAN






