PETALING JAYA: Penampan modal yang kukuh dijangka dapat mengimbangi sebarang tekanan terhadap margin bank di Malaysia meskipun berdepan ketidaktentuan luaran dalam persekitaran kadar faedah rendah.
Fitch Ratings berkata, kenaikan kadar faedah dan perkembangan ekonomi yang tidak dijangka boleh menjejaskan keupayaan peminjam membuat bayaran balik pinjaman, namun kesannya terhadap bank Malaysia dijangka terhad berikutan kualiti aset yang kukuh.
“Ketidaktentuan luaran dan potensi peningkatan kos pinjaman boleh memberi tekanan sederhana terhadap keupayaan membayar hutang.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan sebarang normalisasi kos kredit daripada paras rendah semasa berlaku secara beransur-ansur dan tidak mungkin menyebabkan kemerosotan ketara dalam kualiti aset,” katanya.
Agensi penarafan itu berkata, permodalan bank negara ini kekal stabil dengan nisbah ekuiti biasa Tahap 1 (CET1) sektor perbankan pada 14 peratus pada Mei 2026, jauh melebihi paras minimum yang ditetapkan pengawal selia.
“Kedudukan modal AMMB Holdings Berhad bertambah baik susulan penggunaan model berasaskan penarafan dalaman yang mengurangkan aset berwajaran risiko.
“Sementara itu, Public Bank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad terus menggunakan pendekatan piawaian, menyebabkan ketumpatan aset berwajaran risiko yang lebih tinggi berbanding bank lain.
“Pada suku pertama 2026, aset berwajaran risiko mewakili 65 peratus daripada jumlah aset Public Bank dan 61 peratus bagi Hong Leong Bank, berbanding sekitar 50 peratus bagi kebanyakan bank utama lain.
“Walaupun keadaan ini mengurangkan kecekapan modal yang dilaporkan, ia sepatutnya meletakkan kedua-dua bank pada kedudukan yang baik menjelang pelaksanaan akhir reformasi Basel III,” katanya.
Kesihatan buku pinjaman sektor perbankan disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang semakin baik, nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) yang rendah, peningkatan metrik pinjaman Tahap 2 serta kos kredit yang kekal di bawah purata sejarah.
Menurutnya, dalam tempoh suku pertama 2026, enam kumpulan perbankan terbesar Malaysia menyumbang kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan pinjaman sistem perbankan.
“Kualiti aset sektor perbankan kekal stabil dengan nisbah NPL berada pada 1.4 peratus, manakala nisbah pinjaman Tahap 2 menurun kepada 6.1 peratus daripada 6.6 peratus setahun sebelumnya.
“Keadaan itu turut disokong pertumbuhan pinjaman yang meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun, manakala kos kredit kekal di bawah purata sejarah disokong keadaan kredit yang menggalakkan serta prestasi peminjam yang sihat.
“Keuntungan terus disokong oleh sumber pendapatan yang pelbagai, pengurusan kos yang berdisiplin dan kos kredit yang rendah,” katanya.
Enam kumpulan perbankan terbesar itu ialah Malayan Banking Berhad (Maybank), CIMB Group Holdings Berhad, Public Bank, RHB Bank Berhad, Hong Leong Bank dan AMMB. – UTUSAN






