Biarpun negara masih berdepan penularan pandemik Covid-19, namun ia bukan halangan untuk Restoran Seri Suria, Hotel Grand Darulmakmur, Kuantan Pahang menyediakan lebih 100 juadah berbuka puasa sempena Ramadan kali ini sama. Sama seperti tahun sebelumnya, antara sajian menarik disediakan ialah kambing golek beratur, asam pedas ekor lembu, ayam tandoori, nasi ayam chinese style, laksa
Pahang, bubur lambuk, bihun sup utara, Penang Char Kuetiau, sotong telur masin dan butter prawn nestum.
Buffet berbuka puasa pastinya tidak lengkap tanpa ulam-ulaman seperti ulam raja, pucuk ubi kayu, pegaga, aneka sambal, jeruk dan kerabu seperti kerabu perut, kerabu ayam, kerabu mangga dan kerabu daging.
Turut disajikan ialah juadah tradisi lemang, serunding ayam dan daging, sate, bubur lambuk, sup sum-sum berempah, dalca kambing, dan ketam masak cili padi.
Pelanggan juga boleh menikmati aneka hidangan pencuci mulut seperti seri muka, onde-onde, kuih lapis, pulut panggang, bubur cha-cha, pulut hitam, pengat pisang, sarang semut, bahulu gulung, lapis surabaya dan suji serta aneka minuman panas dan sejuk.
Ketua Pegawai Eksekutif MUIP Holdings Sdn. Bhd. (MHSB), Mustaqim Zain berkata, lima menu berbeza disediakan setiap hari dalam seminggu bagi memberi kelainan rasa kepada pelanggan untuk menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan.
Beliau berkata, bufet itu ditawarkan bermula 13 April hingga 11 Mei dengan harga RM75 bersih bagi dewasa dan RM35 bagi kanak-kanak.
“Sebagai tarikan, setiap pengunjung boleh menyertai cabutan bertuah dan berpeluang memenangi pakej umrah dan pelbagai baucer dengan jumlah keseluruhan bernilai RM10,000,” katanya dalam majlis pelancaran Bufet Ramadan di Restoran Sri Suria, baru-baru ini.
Mustaqim berkata, bagi mematuhi arahan pihak berkuasa dalam mengekang penularan wabak Covid-19, pihak pengurusan akan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) sentiasa dipatuhi.
Menurutnya, sepanjang Ramadan juga seramai empat pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dilantik mengetuai solat Tarawih di surau Al-Muiz selain menyampaikan tazkirah Ramadan dan bacaan al-Quran sebelum waktu berbuka.
Mustaqim berkata, pihaknya turut menawarkan promosi bilik Deluxe dengan harga RM150 bersih termasuk sahur untuk dua orang dan RM280 bersih (sahur dan bufet Ramadan) juga untuk dua orang sepanjang Ramadan ini.
Umat Islam yang berminat untuk berbuka puasa di hotel berkenaan boleh membuat tempahan dan mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian 09-5118888 (8536) atau
WhatsApp 012-6134991.






