PETALING JAYA: Susulan berhadapan dengan kes rompakan beg berjenama mewah di butik miliknya yang mencatat kerugian RM92,000, penyanyi dan pempengaruh, Ariff Bahran bagaimanapun menafikan wujud unsur sabotaj daripada orang terdekat.
Meskipun kesal dengan kejadian yang berlaku, Ariff atau Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 28, bagaimanapun berkata, dia lebih selesa untuk menyerahkan kes siasatan kepada pihak polis.
Menganggap perkara ini sebagai satu ujian, Ariff juga mengakui tidak mudah patah semangat dan masih mahu meneruskan minatnya dalam bidang perniagaan.
“Saya menafikan sama sekali wujudnya unsur sabotaj daripada mana-mana pihak terdekat dalam kejadian pecah masuk ini. Tetapi, saya menyerahkan sepenuhnya kes siasatan ini kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Bercakap mengenai serik atau tidak serik, terus-terang, saya memang tidak serik sebab berniaga itu minat saya. Memang akan ada risikonya sendiri bila dalam perniagaan ini.
“Inilah risikonya dan saya perlu berhati-hati lagi untuk masa akan datang. Tapi, saya anggap ini adalah dugaan daripada Allah,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Dalam pada itu, Ariff mendedahkah tiga orang individu telah memasuki premis melalui tingkap yang tidak boleh dikesan dengan jelas oleh sistem keselamatan.
“Apa yang saya nampak dalam CCTV adalah tiga orang iaitu dua orang lelaki dan seorang perempuan. Bunyi seperti perempuan tetapi perlu disahkan semula.
“Saya baru sedar bila pekerja saya masuk pada pukul 9.30 pagi tadi. Kejadian itu terakam di CCTV kami. Mereka masuk pukul 5.58 pagi ini dan keluar pukul 6.02 pagi. Mereka membawa 24 baju kemeja yang bernama Balenciaga, Yves Saint Laurent, Louis Vuitton dan Gucci,” katanya.
Tambah Ariff, dia menganggarkan nilai kerugian yang ditanggungnya akibat kehilangan beg berjenama mewah tersebut sebanyak RM92,000.
“Beg berjenama yang dilarikan adalah daripada jenama terkemuka yang harga keseluruhannya adalah sekitar RM92,000. Kami tidak perasan pada waktu pagi kerana kami bangun pukul 6.30 pagi,” ujarnya.
Susulan kejadian tersebut, Arif telah membuat laporan polis dan pihak berkuasa kini sedang giat menjalankan siasatan di lokasi kejadian bagi menjejaki kesemua suspek.
“Sekarang ini pegawai penyiasat dan pihak polis sedang lakukan siasatan.Saya harus tunggu, dan tentunya mengharapkan hal ini dapat diselesaikan dengan adil,”katanya.



